24 Rabiul Awal 1440H
02 Disember 2018M
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتهُ
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـنِ ٱلرَّحِيم
Sakit itu satu nikmat
Kadangkala dalam perjalanan kehidupan ini, manusia jatuh sakit. Allah ujinya dengan kesakitan.
Kadangkala manusia tidak perasan, Allah sedang memberikan kepadaNya titik perhentian untuk bermuhasabah. Sungguh sebenarnya, sakit itu nikmat.
Kita perlu sedar bahawa kita adalah manusia. Dinamakan manusia kerana fitrah manusia adalah pelupa. Ada antara kita berilmu luas, ada pula antara kita harta melaut, ada pula kita kebolehan tak tertanding, dan 1001 nikmat lagi. Tetapi dengan sakit, semuanya itu seakan tidak berguna langsung. Yang kita inginkan adalah sihat.
Ketika itu kita akan tersedar. Kalau ilmu, harta, kebolehan dan kebanyakan nikmat material lain kadangkala boleh menjauhkan kita daripada Allah SWT apabila disertai bongkak, angkuh, riya’ dan sebagainya, sakit mengundang peringatan.
Ada pepatah berkata:
"Hanya orang yang miskin tahu nikmat kekayaan, hanya orang sakit tahu nikmat kesihatan, dan hanya orang mati tahu nikmat kehidupan"
Sakit, mampu menjadikan kita beringat. Seakan-akan bila kita sakit, Allah SWT berbisik kepada kita:
"Sesungguhnya Aku boleh menarik nikmatKu bila-bila masa sahaja"
وَلَـنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَـوْفِ وَالْجُـوْعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الْاَمْوَالِ وَالْاَنْفُسِ وَالثَّمَرٰتِ ؕ وَبَشِّرِ الصّٰبِرِيْنَ
"Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar:"
(Al-Baqarah: 155)
اَوَلَا يَرَوْنَ اَنَّهُمْ يُفْتَـنُوْنَ فِيْ كُلِّ عَامٍ مَّرَّةً اَوْ مَرَّتَيْنِ ثُمَّ لَا يَتُوْبُوْنَ وَلَا هُمْ يَذَّكَّرُوْنَ
"Dan (patutkah) mereka (berdegil) tidak mahu memperhatikan, bahawa mereka dicuba (dengan berbagai-bagai bencana) pada tiap-tiap tahun, sekali atau dua kali; kemudian mereka tidak juga bertaubat, dan tidak pula mereka mahu beringat (dan insaf)?"
(At-Taubah: 126)
Tiadalah sakit-sakit ini menimpa kita, tiadalah bencana menyentuh kita, melainkan ada hikmahnya. Allah ingin kita kembali mengingati-Nya, bergerak ke arah-Nya, muhasabah kembali kehidupan kita. Sakit adalah petanda bahawa kita adalah manusia. Manusia yang lemah. Sebagai yang lemah, kita perlu beringat. Perlu sentiasa sedar akan kekerdilan kita. Didatangkan sakit, adalah untuk kita beringat betapa pada hakikatnya, kita langsung tidak patut mendongak (menengok ke atas) bongkak kepada Yang Maha Berkuasa – Allah SWT.
Jangan dicela sakit yang menimpa. Ambil penyakit itu sebagai peringatan. Sesungguhnya kita ini manusia yang lupa, dan sakit bencana yang menimpa itu untuk peringatan. Dan tidaklah peringatan itu tiba dari yang bukan memerhatikan. Maka ketahuilah bila anda sakit, Allah pada hakikatnya sedang memberikan perhatian kepada anda. Bukankah itu satu kemuliaan? Tetapi bagaimana kita melayan sakit kita? Bagaimana kita berhadapan dengannya?
وَمَاۤ اَصَابَكُمْ مِّنْ مُّصِيْبَةٍ فَبِمَا كَسَبَتْ اَيْدِيْكُمْ وَيَعْفُوْا عَنْ كَثِيْرٍ
"Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa); dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu."
(Asy-Syura: 30)
Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Dan sesungguhnya kami akan berikan cubaan kepada kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang yang sabar iaitu orang yang apabila ditimpa musibah mereka mengucapkan, Innalillahi Wainna Ilaihi Rajiun, maka itulah mendapat berkat dan rahmat daripada Tuhannya dan mereka itulah orang yang mendapat petunjuk"
(Al-Baqarah: 155-157)
Justeru, sehebat mana ujian yang dihadapi hendaklah ditempuhi dengan sabar, redha dan bertawakal kepada-Nya. Terus menerus berusaha mencari penawar dan berdoa supaya Allah memberikan petunjuk dan rahmat agar keadaan penyakit yang dihadapi akan lebih baik daripada sebelum ini...
No comments:
Post a Comment