Wednesday 4 July 2018

Pusrapi Info: HEBATNYA DOA ANAK SOLEH

HEBATNYA DOA ANAK SOLEH


HEBATNYA DOA ANAK SOLEH


Doa Anak Soleh Pasti Dikabulkan

Sekiranya kita bertemu dengan seorang anak soleh yang berbakti kepada ibu bapanya, usah segan meminta doa daripadanya. Ataupun seandainya kita merasakan mempunyai banyak dosa, minta dia supaya memohon keampunan kepada Allah SWT atas dosa-dosa kita itu. Allah SWT akan menjawab doanya dan memberi keampunan atas dosa-dosa itu.

     Itulah yang dilakukan oleh sahabat Nabi yang mulia, Umar bin Khataab r.a. yang meminta supaya Uwais bin Al-Qarni memohon keampunan kepada Allah SWT atas dosa-dosanya. Umar melakukannya kerana dia yakin doa Uwais bin Amir Al-Qarni, yang dikenali sebagai anak soleh dan berbakti kepada ibu bapanya pasti dikabulkan oleh Allah SWT.

     Dalam sebuah rekod daripada Imam Muslim, diceritakan Usair bin Jabir menyatakan Umar Al-Khattab r,a, bertanya sekiranya ada rombongan penduduk Yaman datang menemuinya, "Apakah ada antara kamu yang bernama Uwais bin Amir?"

     Kemudian, dia menemui Uwais dan berkata, "Engkau Uwais bin Amir?"

     "Ya," jawab Uwais.

     "Dari Murad dan kemudian Qaran?"

     "Ya," jawab Uwais lagi.

     Umar berkata, "Dan engkau pernah menghidap penyakit kusta, tetapi sudah sembuh, kecuali ada yang tersisa sebesar dirham?" "Ya," jawab Uwais lagi. Umar bertanya lagi, "Apakah engkau masih mempunyai ibu?" "Ya," jawabnya.

     Umar berkata, "Aku pernah mendengar Rasulullah SAW menyatakan, 'Akan datang kepada kalian Uwais bin Amir dari rombongan penduduk Yaman daripada Murad, kemudian daripada Qaran. Pada dirinya ada penyakit kusta yang kemudiannya sembuh, kecuali satu tempat pada tubuhnya yang sebesar duit dirham. Dia mempunyai ibu dan dia berbakti kepada ibunya. Jikalau dia bersumpah kepada Allah, Allah pasti menerimanya. Oleh sebab itu, sekiranya engkau dapat meminta kepada dia supaya memohonkan keampunan untukmu, 'lakukanlah'. Oleh seba itu, mohonlah keampunan untukku."

     Kemudian, Uwais pun memohon keampunan untuk Umar. Lalu, Umar berkata kepada Uwais, "Engkau hendak pergi ke mana?"

     "Ke Kuffah," jawab Uwais.

     Umar berkata, "Mahukah engkau jikalau aku tuliskan surat kepada pemimpinmu?"

     Kata Uwais, "Aku tinggal bersama orang miskin dan lebih aku sukai."

     Pada tahun berikutnya, Usair menyatakan ada seseorang yang termasuk pemuka antara mereka berselisih dengan Umar. Umar bertanya perihal Uwais kepada orang itu. Orang itu menyatakan bahawa dia meninggalkan Uwais di rumah buruk dan sedikit harta.

     Kemudian, Umar menyatakan bahawa dia pernah mendengar Rasulullah SAW menyatakan, "Akan datang kepada kalian Uwais bin Amir dari rombongan penduduk Yaman dari Murad, kemudian dari Qaran. Pada dirinya ada penyakit kusta yang kemudiannya sembuh, kecuali satu tempat pada tubuhnya yang sebesar duit dirham. Dia mempunyai ibu dan dia sangat berbakti kepada ibunya. Jikalau dia bersumpah kepada Allah, pasti Allah menerimanya. Oleh sebab itu, sekiranya engkau dapat meminta kepada dia supaya memohonkan keampunan untukmu, maka lakukanlah."

     Lalu, Usair menemui Uwais dan berkata, "Mohonlah keampunan untukku."

     Usair berkata, "Engkau baru melakukan perjalanan yang baik. Mohonkanlah keampunan untukku. Apakah engkau pernah bertemu Umar?"

     "Ya," jawab Uwais.

     Lalu, Uwais memohon keampunan untuk Usair. Maka, orang pun memahaminya sehingga mereka juga pergi menemui Uwais.

     Usair berkata, "Aku memakaikannya jubah. Apabilah setiap orang melihatnya, orang itu akan bertanya, 'Dari mana Uwais mendapat jubah itu?'"

     Begitulah kehebatan anak soleh yang berbakti kepada ibu bapanya. Mengapa jadi begitu? Kerana dia dekat dengan Allah SWT. Dekatnya dia dengan Allah SWT adalah kerana baktinya kepada ibu bapanya. Dicintai oleh Allah SWT kerana melaksanakan perintah-Nya, iaitu berbakti kepada ibu bapa. Allah SWT menjelaskan:

     "Dan Tuhanmu memerintahkan supaya jangan menyembah
     selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu
     bapa dengan sebaik-baiknya. Jikalau salah seorang antara
     kedua-duanya ataupun kedua-duanya berumur lanjut dalam
     pemeliharaanmu, maka jangan sesekali kamu mengatakan 'ah'
     kepada mereka dan janganlah kamu menengking mereka dan
     ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia."

(Surah Al-Isra', ayat 23)

Allah SWT menyuruh seorang anak berbuat baik kepada ibu bapanya selepas Dia menyuruh supaya tidak menyembah selain daripada-Nya. Ini mengandungi isyarat betapa besarnya pahala berbuat baik kepada ibu bapa sehingga Allah SWT menggandingkannya dengan perintah mentauhidkan-Nya, selain menunjukkan itu adalah hal yang sangat penting dan utama dalam agama. Jadi, tidak hairanlah jikalau seorang anak yang berbuat baik kepada ibu bapanya mendapat tempat istimewa di sisi Allah dan permintaan ampun anak ini untuk orang lain akan dikabulkan-Nya.


Mustajabnya Doa Anak

Dalam Al-Quran, terdapat ayat yang memberi isyarat doa seseorang anak untuk ibu bapanya sangat mustajab kerana Allah SWT sudah memerintahkan demikian. Sementara itu, hadith yang direkodkan oleh Imam Muslim menyatakan tentang tiga perkara yang pahalanya akan terus mengalir untuk orang yang melakukannya walaupun dia sudah meninggal dunia. Satu daripada pahala itu adalah anak soleh yang mendoakannya. Ini menjadi penguat bahawa doa anak untuk ibu bapanya sangat mustajab. Perkara ini tidak perlu diragukan lagi kerana itu adalah perintah Allah SWT dan Rasul-Nya. Tidak ada hal yang lebih baik dan lebih hebat dalam hidup seseorang, kecuali melaksanakan perintah Allah SWT dan Rasul-Nya.

     Namun begitu, doa seorang anak untuk ibu bapanya hanya akan dikabulkan seandainya ibu dan bapanya beriman. Doa anak tidak akan dikabulkan sekiranya ibu dan bapanya kafir. Perkara ini ditegaskan oleh Allah SWT yang bermaksud:

     "Nabi dan orang-orang yang beriman tidak sepatutnya
     memintakan ampun kepada Allah untuk orang-orang musyrik,
     walaupun orang-orang musyrik itu adalah kaum kerabatnya
     sendiri. Sesudah jelas pada mereka bahawa orang-orang musyrik
     itu adalah penghuni neraka jahanam, dan pemintaan ampun 
     daripada Ibrahim (kepada Allah) untuk bapanya tidak lain
     hanyalah kerana suatu janji yang diikrarkan kepada bapanya
     itu. Maka, tatkala jelas kepada Ibrahim bahawa bapanya
     adalah musuh Allah. Ibrahim berlepas diri daripadanya.
     Sesungguhnya, Ibrahim adalah seorang yang sangat lembut
     hatinya lagi penyabar."

(Surah At-Taubah, ayat 113 hingga ayat 114)

Bagi menjelaskan ayat yang disebut tadi, Imam Ibnu Katsir memetik sebuah hadith yang direkodkan oleh Imam Ahmad daripada Ali r.a. Ali berkata, "Aku mendengar seorang lelaki membaca istighfar untuk ibu bapanya yang musyrik. Aku berkata, "Apakah seseorang boleh meminta keampunan (beristighfar) kepada ibu bapanya yang muysrik?"

Lelaki itu berkata, "Bukankah Nabi Ibrahim juga beristighfar untuk bapanya?"

Ali berkata, "Kemudian, aku menyampaikan hal itu kepada Nabi Muhammad SAW. Maka turunlah ayat yang bermaksud, 

     "Nabi dan orang-orang yang beriman tidak sepatutnya
     memintakan ampun kepada Allah untuk orang-orang musyrik,
     walaupun orang-orang musyrik itu adalah kamu kerabatnya
     sendiri. Sesudah jelas pada mereka bahawa orang-orang musyrik
     itu adalah penghuni neraka jahanam, dan permintaan ampun
     daripada Ibrahim kepada Allah untuk bapanya tidak lain
     hanyalah kerana suatu janji yang diikrarkan kepada bapanya
     itu. Maka, tatkala jelas kepada Ibrahim bahawa bapanya
     adalah musuh Allah. Ibrahim berlepas diri daripadanya.
     Sesungguhnya, Ibrahim adalah seorang yang sangat lembut
     hatinya lagi penyabar."

(Surah At-Taubah, ayat 133 hingga ayat 114)

Ada dua sebab Islam menyuruh umatnya berbuat baik kepada ibu bapa. Pertama, bagi mendidik karakter. Seorang Muslim tidak seharusnya meremehkan suatu kebaikan yang diberikan oleh orang lain kepadanya. Apatah lagi orang yang melakukan kebaikan itu adalah orang yang dekat dengannya, iaitu ibu bapanya.

     Kedua, sebagai bentuk syukur kepada orang yang berbuat baik kepadanya. Dengan jasa ibu bapa, dia dapat hidup dengan penuh kasih sayang, dipelihara, dan dididik dengan baik sehingga dapat hidup dengan selesai sebagai seorang manusia. Seandainya ibu bapanya dahulu mengabaikannya, pasti dia tidak dapat hidup seperti sekarang.


Doa Anak Menggembirakan Ibu Bapanya

Ketika seseorang terbaring di dalam kubur, tidak ada teman bersamanya, apatah lagi keluarga ataupun jiran tetangga. Dia perlukan sesuatu yang dapat menemaninya dan menggembirakannya. Dia terbit sendirian sehingga hari kiamat, sedangkan amal perbuatannya terputus pada ketika ajal memanggilnya. Keadaan itu pasti sangat menakutkan seandainya dibayangkan saat ini. Jadi, sebelum hal itu berlaku, setiap orang perlu menyediakan bekalan yang dapat menjadi teman dan penghibur pada saat sulit seperti ini. Doa daripada orang yang masih hidup adalah sesuatu yang paling diharapkan terutamanya daripada anak-anak dan keluarga. Oleh sebab itu, setiap orang perlu mempersiapkan anak-anak supaya menjadi anak yang soleh dan dapat mendoakan ibu bapanya. Menurut Ibnu Abbas r.a. Rasulullah SAW menyatakan:

     "Orang yang sudah mati di dalam kubur itu seperti orang
     yang tenggelam. Mereka menunggu dan berharap kiriman doa
     daripada ibu bapanya, anaknya, keluarga, ataupun sahabatnya.
     Sekiranya dia mendapat kiriman doa daripada mereka,
     itu adalah lebih dicintainya berbanding dengan dunia dan
     lain-lain. Sesungguhnya, Allah akan mengirimkan doa
     orang-orang hidup kepada ahli kubur seumpama gunung.
     Sesungguhnya, hadiah orang-orang yang masih hidup kepada
     orang yang sudah mati adalah bacaan istighfar."

(Hadith ini direkodkan oleh Al-Baihaqi)

Permohonan ampun kepada Allah SWT daripada seorang anak untuk ibu bapanya yang sudah meninggal dunia amat diharap. Jadi, jangan sesekali meremehkan hal ini kerana dalam keadaan sulit dan tidak ada lagi tempat meminta, hanya doa daripada orang yang masih hidup, terutamanya anak-anak, yang dapat diharapkan. Bergembiralah ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang dapat mendoakan mereka pada ketika mereka terbujur kaku di dalam kubur.

     Seorang anak yang berbakti kepada ibu bapanya akan sentiasa mengambil berat tentang ibu bapanya, daripada hidup sehingga meninggal dunia. Perkara ini yang membuatkan ibu bapa bahagia di dunia dan di akhirat. Bukan kejayaan seorang anak, tetapi kesolehan dan pengabdian anak-anak kepada mereka yang dapat membahagiakan mereka. Seperti yang direkodkan oleh sebuah hadith:

     "Seorang lelaki daripada Bani Salamah bertanya kepada
     Rasulullah SAW, "Ya Rasulullah, apakah ada perkara baik
     yang dapat dilakukan oleh seorang anak untuk ibu bapanya
     yang sudah meninggal dunia?" Rasulullah SAW berkata,
     "Berdoa untuk kedua-duanya, membaca istighfar, menunaikan
     janjinya, menyambung silaturahim dengan keluarganya, dan
     memuliakan sahabat-sahabatnya."

(Hadith ini direkodkan oleh Abu Daud)


Manfaat Doa Anak untuk Ibu Bapanya

Sekiranya ibu bapa sudah meninggal dunia, sedangkan anaknya tidak pernah berbuat baik kepada mereka, malah banyak melakukan dosa dan sering menyakiti mereka, jangan berputus asa atau kecewa. Allah SWT masih memberi kesempatan kepada anak untuk berbuat baik kepada ibu bapanya yang sudah meninggal dunia.

     Berbuat baik kepada ibu bapa (birrul walidain) yang sudah meninggal dunia dapat dilakukan melalui amalan-amalan berikut, iaitu berdoa, membaca istighfar untuk mereka, bersedekah atas nama mereka, menunaikan haji untuk mereka, membayar hutang mereka, menunaikan janji mereka, dan menjaga silaturahim dengan keluarga mereka.

     Dalam sebuah atsar yang dicatatkan oleh Syekh 'Aidh bin Abdullah Al-Qarni menyatakan, "Ada seorang lelaki yang kematian ibu bapanya, sedangkan dia banyak melakukan dosa kepada mereka. Dia sangat menyesal dan banyak berdoa serta membacakan istighfar untuk ibu bapanya. Dia juga memelihara siturahim dengan keluarga ibu bapanya. Oleh sebab itu, dia tercatat sebagai anak yang berbuat baik kepada ibu bapanya selama-lamanya."

     Syekh 'Aidh Al-Qarni juga berkata, "Aku berwasiat kepada diriku dan kepada semua yang kematian ibu bapa. Kirimkanlah hadiah kepada mereka pada setiap malam. Dalam sebuah atsar dinyatakan, 'Tidaklah seseorang berdoa ataupun bersedekah, kecuali hal itu akan didatangkan dalam wadah berbentuk cahaya yang diberikan kepada ibu ataupun bapanya yang berada di dalam kubur.'"

     Doa anak untuk ibu bapanya juga dapat mengangkat darjat mereka di sisi Allah SWT. Menurut Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW berkata:

     "Sesungguhnya, Allah tabaraka wata'ala akan mengangkat
     darjat seseorang. Kemudian orang itu bertanya, dari mana saya
     mendapatkan hal ini? Allah SWT menerangkan, 'Kerana doa 
     anakmu untukmu.'"

(Hadith ini direkodkan oleh Al-Bazzar)

Ini adalah manfaat yang luar biasa dan tidak ada tolok bandingnya. Doa seorang anak dapat mengangkat darjat ibu bapanya. Perkara yang tidak disangka-sangka dan tidak diketahui berlaku sehingga ibu bapa yang diangkat darjatnya itu bertanya, "Dari mana ini?" Perkara itu menunjukkan betapa terkejutnya ibu bapa itu dengan pahala yang diterimanya, yang dia sendiri berasa tidak melakukannya. Ini adalah berkat doa anak kerana ibu bapanya sudah mendidiknya menjadi anak yang soleh. Jadi, ibu bapa itu layak mendapat pahala yang tidak diduga daripada Allah SWT.

     Doa anak untuk ibu bapa sangat memberi manfaat kepada ibu bapa yang masih hidup ataupun yang sudah meninggal dunia. Imam As-Subki berkata, "Ada dua perkara yang perlu diperhatikan tentang doa anak untuk ibu bapanya. Pertama, doa dan pahala doa adalah untuk yang mendoakan, bukan untuk yang didoakan. Kedua, pada ketika doa itu dimakbulkan, itu adalah anugerah Allah SWT untuk orang yang didoakan. Namun, pahala doa seorang anak untuk ibu bapanya adalah daripada doa itu, berdasarkan hadith Rasulullah SAW:

     "Apabila seorang hamba mati, putuslah amalnya kecuali tiga
     perkara, iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan
     anak soleh yang mendoakannya."

(Hadith ini direkodkan oleh Al-Bukhari)

Doa anak adalah hasil daripada amalan ibu bapa yang mendidik anak menjadi anak yang soleh. Ini kerana, sikap dan akhlak anak sama ada baik ataupun sebaliknya, sangat dipengaruhi oleh ibu bapanya. Oleh sebab itu, memang wajar ibu bapa mendapat manfaat pahala daripada anak-anaknya. Hal ini menunjukkan betapa Allah SWT maha adil dan tidak mensia-siakan sedikit pun amalan hamba-Nya. Setiap perbuatan baik dicatat dengan rapi dan diberikan ganjaran pahala dan setiap amalan buruk juga dicatat serta diberikan balasan yang setimpal. Jadi, kita perlu berhati-hati dalam mendidik anak-anak supaya anak-anak tidak menjadi beban bagi ibu bapa, sama ada di dunia mahupun di akhirat.

     Jadikan anak-anak sebagai pelaburan pahala yang keuntungan dan manfaatnya tetap dapat dirasakan dan dinikmati oleh ibu bapa, baik pada ketika masih hidup ataupun sesudah mati. Jangan biarkan anak-anak menjadi orang yang lemah dalam segala hal yang tidak memberikan dan mendatangkan pahala untuk ibu bapanya. Anak adalah ladang amal yang menghasilkan pahala untuk ibu bapanya. Allah SWT memberi peringatan supaya manusia tidak meninggalkan generasi yang lemah, yang kewujudannya tidak mendatangkan manfaat, malah menjadi beban. Allah SWT menjelaskan:

     "Dan hendaklah takut kepada Allah orang-orang yang
     seandainya meninggalkan di belakang mereka anak-anak yang
     lemah, yang mereka khuatir terhadap kesejahteraan mereka.
     Oleh sebab itu, hendaklah mereka bertakwa kepada Allah dan
     hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang benar."

(Surah An-Nisaak, ayat 9)

Mengulas pengertian 'lemah' dalam ayat ini, Imam Ibnu Katsir memfokuskan pada masalah ekonomi. Dia mengatakan, ibu bapa tidak seharusnya meninggalkan anak-anak dalam keadaan miskin. (Tafsir Ibnu Katsir Jilid 1, hal 432). Hal ini terbukti kerana ramai orang Islam sanggup meninggalkan akidah ataupun murtad akibat keadaan ekonomi yang di bawah garis kemiskinan. Hal ini pasti mendatangkan akibat buruk kepada anak-anak dan juga ibu bapa. Jadi, tidak ada pilihan lain bagi ibu bapa selain mendidik anak yang soleh yang akan memberi manfaat kepada ibu bapa mereka di dunia dan juga di akhirat.


Mengangkat Darjat Ibu Bapa

Suatu anugerah yang sangat hebat sekiranya seseorang menjadi hamba Allah SWT yang soleh kerana dia akan mendapat kehidupan yang bahagia di dunia dan darjat yang tinggi di syurga nanti. Tetapi, akan lebih membahagiakan jikalau seseorang juga mempunyai anak yang soleh kerana darjatnya akan dinaikkan ke tempat yang lebih tinggi, berkat doa istghfar anaknya. Sa'id bin Al-Musayyab berkata,

     "Seseorang dapat diangkat darjatnya ke langit ataupun darjat
     yang tinggi kerana doa yang dipanjatkan anaknya selepas dia
     meninggal dunia."

(Direkodkan oleh Imam Malik dalam Al-Muwaththa)

Allah SWT juga menjelaskan:

     "Ya Tuhan Kami, dan masukkanlah mereka ke dalam syurga
     'Adn yang Engkau janjikan kepada mereka dan orang-orang
     yang soleh antara bapa-bapa mereka dan isteri-isteri mereka
     dan keturunan mereka. Sesungguhnya, Engkaulah yang maha
     perkasa lagi maha bijaksana dan peliharalah mereka daripada
     balasan kejahatan dan orang-orang yang Engkau pelihara
     daripada pembalasan kejahatan pada hari itu. Sesungguhnya,
     Engkau anugerahkan rahmat kepada mereka dan itulah
     kemenangan yang besar."

(Surah Al-Mukmin, ayat 8 hingga ayat 9)

Imam Al-Qurtubi dalam kitab tafsirnya mencatat sebahagian ahli tafsir mengatakan, "Sesungguhnya, apabila seorang anak memiliki darjat yang lebih tinggi daripada bapanya di akhirat nanti, maka dia akan meminta kepada Allah SWT supaya menaikkan darjatnya."

     Imam Al-Qurtubi mengatakan lagi, Said bin Jubair berkata, "Ketika seorang lelaki masuk ke syurga, dia berkata, 'Wahai Tuhanku, di manakah bapaku, datukku, dan ibuku? Di manakah anak dan cucuku? Di mana pula isteriku?' Dikatakan kepadanya, 'Mereka tidak beramal seperti kamu.' Lelaki itu berkata, 'Wahai Tuhanku, aku beramal untukku dan untuk mereka.' Dikatakan kepadanya, 'Masukkanlah mereka ke dalam syurga.'"

     Kemudian, Said bin Jubair membaca ayat yang bermaksud, "Malaikat-malaikat yang memikut 'Arasy dan malaikat yang berada di sekelilingnya bertasbih memuji Tuhannya dan mereka beriman kepada-Nya serta memintakan ampun untuk orang-orang yang beriman sambil mengucapkan:

     "Ya Tuhan Kami, rahmat dan ilmu Engkau meliputi
     segala-galanya, maka berilah keampunan kepada orang-orang
     yang bertaubat dan mengikut jalan Engkau dan peliharalah
     mereka daripada seksaan neraka yang menyala-nyala.

     Ya Tuhan Kami, dan masukkanlah mereka ke dalam syurga
     'Adn yang Engkau janjikan kepada mereka dan orang-orang
     yang soleh antara bapa-bapa mereka dan isteri-isteri mereka
     dan keturunan mereka. Sesungguhnya, Engkaulah yang maha
     perkasa lagi maha bijaksana."

(Surah Al-Mukmin, ayat 7 hingga ayat 8)

Perkara ini ditegaskan dalam hadith yang direkodkan daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW berkata:

     "Sesungguhnya, Allah yang maha mulia lagi agung mengangkat
     darjat seorang hamba soleh di dalam syurga ke tempat yang
     lebih tinggi. Kemudian, hamba yang soleh itu bertanya,
     "Tuhanku, dari mana saya mendapatkan kemuliaan ini?" Allah
     menjelaskan, "Ini berkat permohonan ampunan daripada
     anakmu untukku."

(Hadith ini direkodkan oleh Ahmad, At-Tabrani, Al-Baihaqi)

Satu perkara yang sangat penting bagi ibu bapa adalah mendidik anak-anak menjadi orang yang dapat memberi kebaikan kepada mereka, mengangkat darjat, dan menyelamatkan mereka di akhirat kelak. Perkara itu akan diperoleh sekiranya anak-anak yang ditinggalkan menjadi anak-anak yang soleh kerana hanya anak-anak soleh yang dapat mendoakan ibu bapa mereka dan memohon keampunan atas dosa-dosanya.

     Sebaliknya, jikalau yang ditinggalkan adalah anak-anak yang 'salah', yang selalu mengingkari Allah SWT, menggunakan harta yang diwarisi daripada ibu bapa untuk bermaksiat, saling berbuat jahat dengan saudaranya, maka hal-hal buruk ini akan menjadi beban dosa dan menambah kesengsaraan ibu bapanya. Sementara Allah SWT masih memberi kita kesempatan hidup, berusahalah sedaya upaya mendidik anak-anak menjadi anak-anak soleh sebelum datang penyesalan yang tiada akhirnya.


Syafaat Seorang Anak untuk Ibu Bapanya

Tidak diragukan lagi, anak adalah anugerah daripada Allah SWT untuk manusia. Selain menjadi penyejuk mata, penenang jiwa, pelengkap kebahagiaan hidup berumah tangga semasa di dunia, anak-anak juga dapat memberi kebahagiaan yang tidak terhingga di akhirat kelak. Pada saat seseorang tidak memiliki apa-apa lagi yang dapat menyelamatkannya daripada seksa api neraka, anak akan datang memberi syafaat dan membebaskan mereka dari neraka.

     Syekh Abdurrahman Al-Mahmud mengatakan, "Seorang anak yang mati pada ketika masih kecil ataupun belum baligh akan memberi syafata kepada ibu bapanya pada hari kiamat. Jadi, Rasulullah SAW menganjurkan umatnya mempunyai ramai anak. Pada hari kiamat nanti, Rasulullah SAW akan bangga dengan umatnya yang ramai. Rasulullah SAW berkata:

     "Bernikahlah dengan perempuan yang subur dan besar
     cintanya. Sesungguhnya, aku bangga terhadap kalian di
     hadapan umat lain pada hari kiamat."

(Hadith ini direkodkan oleh Abu Daud, An-Nasaie, dan Al-Baihaqi)

Imam Ath-Thahawi menulis dalam kitabnya, Syarah Akidah Thahawiyah tentang syafaat yang dapat dimiliki oleh sesiapa sahaja dengan izin Allah SWT. Sebagaimana yang direkodkan dalam hadith sahid bahawa Allah SWT menjelaskan pada hari kiamat, "Para malaikat memberi syafaat, begitu juga para Nabi dan orang-orang beriman. Pada ketika semua sudah memberi syafaat, tidak ada lagi yang tinggal kecuali kasih sayang Allah yang maha penyayang. Jadi, Allah menyuruh sekumpulan orang yang ada di neraka, yang tidak pernah melakukan kebaikan sama sekali supaya dikeluarkan dari neraka."

     Jadi, syafaat bukan hanya untuk para Nabi, tetapi juga untuk malaikat dan orang beriman yang soleh. Allah SWT menjelaskan tentang hal itu apabila menerangkan tentang malaikat pemikul 'Arasy dan yang lainnya:

     "Hampir sahaja langit itu pecah dari sebelah atas kerana
     kebesaran Tuhan dan malaikat-malaikat bertasbih serta memuji
     Tuhan dan memohon keampunan bagi orang yang ada di
     bumi. Ingatlah bahawa sesungguhnya Allah maha pengampun
     lagi penyayang."

(Surah Asy-Syura, ayat 5)

Ini adalah permohonan ampun daripada para malaikat untuk orang yang ada di bumi sebelum ada kepastian sama ada masuk ke syurga ataupun neraka. Para malaikat menyayangi dan mencintai orang yang beriman pada ketika mereka melihat seksaan dan tempat kembalinya.

     Jadi, syafaat itu dapat dilakukan oleh orang yang diizinkan Allah SWT bagi memberi syafaat. Setiap orang Islam yang soleh dapat memberi syafaat kepada keluarganya dan orang yang dikehendakinya. Allah SWT menjelaskan:

     "Allah mengetahui segala sesuatu yang di hadapan mereka
     iaitu malaikat dan yang di belakang mereka, dan mereka
     tidak memberi syafaat melainkan kepada orang-orang yang
     diredhai Allah, dan mereka itu selalu berhati-hati kerana takut
     kepada-Nya."

(Surah Al-Anbiya', ayat 28)

Syafaat adalah usaha perantaraan dalam memberi suatu manfaat kepada orang lain autapun mengelakkan mudarat pada orang lain. Syafaat yang tidak diterima di sisi Allah SWT adalah syafaat untuk orang kafir. Syafaat yang baik adalah syafaat yang ditujukan bagi melindungi hak seorang Muslim ataupun menghindarkannya daripada kemudaratan ataupun bahaya. Syafaat yang buruk adalah lawan kepada syafaat yang baik.

     Menurut Abu Sa'id Al-Khudri r.a., Rasulullah SAW menyatakan:

     Allah tabaraka wa ta'ala menjelaskan, "Para malaikat memberi
     syafaat, begitu juga para Nabi dan orang-orang beriman. Pada
     ketika semua sudah memberi syafaat, tidak ada lagi yang tersisa
     selain daripada kasih sayang Allah yang maha penyayang.
     Kemudian, Allah mengambil senggenggam dari neraka, maka
     keluarlah darinya sekelompok orang yang tidak pernah beramal
     baik sedikit pun."

Dalam sebuah hadith Qudsi, Allah SWT menjelaskan:

     Pada hari kiamat, Allah SWT menyuruh anak-anak (wildaan)
     masuk ke dalam syurga. "Masuklah kalian ke dalam syurga."
     Anak-anak itu berkata, "Ya Rabbi, kami menunggu sehingga
     ibu bapa kami masuk." Mereka mendekati pintu syurga,
     tetapi tidak mahu masuk ke dalamnya. Allah menyatakan
     lagi, "Mengapa Aku lihat mereka enggan masuk? Masuklah ke
     dalam syurga." Mereka menjawab, "Tetapi, bagaimana dengan
     ibu bapa kami?" Allah pun menerangkan, "Masuklah kalian ke
     dalam syurga bersama ibu bapa kalian."

(Hadith Qudsi ini direkodkan oleh Ahmad daripada Syurahbil bin Syua'ah)

Alangkah gembira dan bahagianya ibu bapa yang mendapat syafaat daripada anak-anak mereka semasa berhadapan dengan seksaan ataupun sedang diseksa. Jadi, jangan berfikir untuk tidak mempunyai anak ataupun merancang mempunyai anak sedikit. Jangan lupa juga untuk berdoa dan berusaha bagi menjadikan mereka anak-anak yang soleh.


Kebaikan yang Berterusan

Setiap manusia pasti mengalami kematian. Pada ketika itu, manusia tidak lagi dapat berbuat apa-apa. Kematian menghentikan manusia daripada melakukan kebaikan ataupun keburukan, sama ada manusia itu orang yang rajin beribadah, bersedekah, membuat maksiat, penjahat, dan sebagainya.

     Semua amal ibadah dan perbuatan manusia berhenti semasa ajal menjemputnya. Ini bermakna, kebaikan seorang manusia berakhir apabila dia mati dan dia tidak dapat lagi membuat apa-apa amal soleh seperti menolong orang lain yang memerlukan bantuan, solat, puasa, menunaikan haji, bersedekah, dan lain-lain. Oleh kerana kematian itu pasti, setiap orang perlu memerhatikannya dan segera menyediakan segala sesuatu bagi dijadikan bekalan. Kepastian datangnya kematian ini disampaikan oleh Allah SWT:

     "Setiap yang bernyawa akan merasakan mati dan sesungguhnya
     pada hari kiamat sahajalah disempurnakan pahalamu. Sesiapa
     yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga,
     maka sungguh dia beruntung. Kehidupan dunia itu tidak
     lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan. Kamu
     sungguh-sungguh akan diuji terhadap hartamu dan dirimu.
     Kamu juga sungguh-sungguh akan mendengar daripada
     orang-orang yang diberi kitab sebelum kamu dan dari
     orang-orang yang mempersekutukan Allah, gangguan yang
     banyak yang menyakitkan hati. Jikalau kamu bersabar dan
     bertakwa, sesungguhnya yang demikian itu termasuk urusan
     yang patut diutamakan."

(Surah Ali 'Imran, ayat 185 hingga ayat 186)

Imam Ibnu Katsir berkata, "Ayat ini adalah khabar duka bagi manusia kerana tidak ada seorang manusia pun di muka bumi ini yang tidak akan mengalami kematian. Apabila semua manusia sudah habis, terjadilah kiamat. Pada ketika itulah mereka mendapat balasan atas semua yang mereka lakukan semasa di dunia sama ada yang kecil ataupun yang besar. Tidak ada satu amal pun yang diabaikan oleh Allah SWT. Semuanya pasti dibalas dengan setimpal.

     Oleh sebab itu, orang beriman sepatutnya menyediakan sebanyak mungkin pahala yang akan diraihnya nanti. Antaranya adalah mengharap adanya aliran pahala yang berterusan daripada amal yang dilakukan semasa hidup. Allah SWT maha penyayang terhadap hamba-Nya. Dia memberi pahala yang terus mengalir walaupun hamba-Nya itu sudah tidak dapat beramal lagi.

     Menurut Anas bin Malik r.a., Rasulullah SAW berkata:

     "Ada tujuh perkara yang pahalanya akan mengalir kepada
     seorang hamba selepas dia mati dan berada di dalam kubur,
     iaitu mengajarkan ilmu, mengalirkan air sungai, menggali
     perigi, menanam pohon, membina masjid, mewariskan musyaf,
     dan meninggalkan anak-anak yang meminta keampunan
     untuknya."

(Hadith ini direkodkan oleh Abu Na'im-Baihaqi)

Dalam hadith yang direkodkan daripada Abu Hurairah r.a., disebutkan tiga amalan penting yang pahalanya akan terus mengalir walaupun orangnya sudah meninggal dunia. Antaranya adalah anak soleh yang mendoakannya. Rasulullah SAW berkata:

     "Apabila salah seorang manusia meninggal dunia, maka
     terputuslah segala amalannya, kecuali tiga perkara, iaitu amal
     jariah ataupun harta yang diwakafkan, ilmu yang bermanfaat
     ataupun diamalkan selepas kematiannya, dan anak soleh yang
     selalu mendoakannya."

(Hadith ini direkodkan oleh Muslim)

Sekiranya ada orang yang dapat melakukan ketiga-tiga perkara di atas itu pasti suatu perkara yang luar biasa. Bukan semua orang mampu melakukannya. Jadi, setidak-tidaknya lakukanlah dan berusahalah mendapat satu daripada tiga perkara itu. Jangan sampai kita tidak mempunyai apa-apa tabung pahala selepas kita meninggal dunia nanti. Alangkah ruginya kita. Sudahlah tidak mempunyai harta untuk bersedekah ataupun ilmu yang bermanfaat, ditambah pula anak yang tidak menjadi anak yang soleh. Akibatnya, binasalah orang seperti itu.

     Apabila seseorang itu tidak mempunyai harta ataupun ilmu, dia perlu berusaha mendidik anaknya menjadi anak yang soleh. Dan anak yang soleh akan mengalir terus kepada ibu bapanya walaupun ibu bapanya sudah meninggal dunia. Inilah peluang terbaik. Jangan pandang ringan kehebatan doa anak untuk ibu bapanya. Anak soleh ibarat pelaburan yang keuntungannya tidak pernah berhenti. Oleh sebab itu, penting untuk kita mendidik dan berbakti kepada ibu bapa.

     Memang susah mendidik anak menjadi anak yang soleh. Jadi, selain daripada berusaha sedaya upaya membimbing dan mengarahkannya, kita juga perlu berdoa dan memohon kepada Allah SWT. Hanya Allah SWT yang mengkehendaki segala-galanya, jadi mintalah kepada-Nya supaya Dia menjadikan anak kita anak yang soleh.


Mendapat Tambahan Pahala daripada Anak

Akhirat adalah tempat terakhir kehidupan manusia. Di sanalah tempatnya manusia mendapat ganjaran dan balasan daripada semua amalan yang dilakukan semasa di dunia. Sama ada baik ataupun buruk, senang ataupun susah, bahagia ataupun sengsara, semuanya ditentukan oleh perbuatan kita semasa di dunia. Akhirat adalah tempat di mana semua manusia akan menyesal. Apakah timbangan amal kebaikannya lebih berat ataupun timbangan keburukannya?

     Pada ketika itu, penyesalan akan dirasai oleh semua manusia. Sekiranya dia melakukan kebaikan, dia akan menyesal kerana tidak melakukan lebih banyak kebaikan semasa hidupnya. Manakala yang melakukan kejahatan, pasti berasa sangat menyesal kerana tidak pernah melakukan kebaikan semasa di dunia. Persiapkanlah diri dengan bekalan pahala tambahan, selain daripada amalan kita sendiri, supaya tidak menyesal pada hari akhirat nanti. Ini menjadi keuntungan dan kebahagiaan kepada kita kerana mendapat suatu anugerah yang tidak disangka-sangka, iaitu tambahan pahala.

     Antara orang yang dapat memberikan tambahan pahala itu adalah anak yang soleh. Ada dijelaskan dalam Hadz Al-Qur'an fi Miati Hadits An-Nabawi/Maktabah Syamilah. Sesungguhnya, kamu tidak tahu siapakah yang akan memberi manfaat kepadamu, sama ada bapa ataupun anak kamu, ataupun orang yang kamu berikan wasiat kepadanya, lalu dia menunaikannya. Rasulullah SAW berkata:

     "Sesiapa yang membaca Al-Quran dan mengamalkan apa yang
     ada di dalamnya, maka ibu bapanya akan dipakaikan mahkota
     pada hari kiamat. Cahayanya lebih terang daripada cahaya
     matahari dunia. Apa anggapan kamu terhadap orang yang
     beramal demikian?"

(Hadith ini direkodkan oleh Abu Daud)

Hadith ini menjelaskan kedudukan dan pahala orang yang membaca Al-Quran dan mengamalkannya. Pahala tidak terbatas kepada orang yang membacanya sahaja, tetapi turut sampai kepada ibu bapa, dengan syarat ibu bapanya beriman. Sekiranya tidak beriman, tidak akan ada apa-apa kesan terhadap mereka.

     Persoalannya, mengapa ibu bapa itu dipakaikan mahkota, iaitu sebagai pahala pada hari kiamat, sedangkan mereka tidak membaca Al-Quran dan tidak melakukan apa yang dilakukan oleh anak mereka? Jawapannya adalah kerana ibu bapalah yang menjadikan anak-anak mereka soleh, sama ada dididik secara langsung ataupun kerana doa mereka. Ada kemungkinan juga mereka sudah mempersiapkan anak-anak dengan baik seperti memberi makanan yang halal dan sebagainya. Rasulullah SAW berkata:

     "Jikalau seorang manusia mati, maka terputuslah amalnya
     kecuali tiga iaitu sedekah jariah (waqaf), ilmu yang
     dimanfaatkan, dan anak soleh yang mendoakannya."

(Hadith ini direkodkan oleh Muslim)

Amalan orang yang sudah meninggal tidak terputus apabila mereka memiliki satu ataupun kesemua hal yang disebutkan dalam hadith di atas. Pahalanya terus mengalir pada ketika dia masih hidup dan juga selepas dia meninggal dunia. Jadi, pahala yang diterima oleh ibu bapa daripada anak soleh yang membaca Al-Quran dan mengamalkannya adalah pahala yang diusahakan oleh mereka. Ibu bapa yang menunjukkan anak-anak ke jalan yang baik. Orang yang menunjukkan kepada jalan kebaikan, pahalanya sama dengan orang yang mengerjakannya.

     "Orang yang menunjukkan orang lain kepada kebaikan,
     pahalanya sama dengan orang yang mengerjakannya."

(Hadith ini direkodkan oleh Muslim)

Yang perlu diperhatikan adalah Allah SWT melipatgandakan pahala sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya. Bukan bermakna Allah SWT melipatgandakan pahala orang yang melakukan kebaikan sama dengan orang yang hanya menunjukkannya. Pahala yang diterima oleh pelaku kebaikan bersesuaian dengan keikhlasan niat dan hatinya. Jadi, ada kemungkinan pahala orang yang melakukan kebaikan lebih besar daripada orang yang menunjukkannya sahaja. Menurut Nawas bin Sam'an r.a., beliau mendengar Rasulullah SAW berkata:

     "Pada hari kiamat, Al-Quran akan didatangkan bersama
     ahlinya ataupun pembaca Al-Quran yang mengamalkannya
     semasa dia di dunia. Dihadapkan kepada mereka surah
     Al-Baqarah dan Ali 'Imran. Kedua-duanya berhujah untuk
     orang yang menguasainya."

(Hadith ini direkodkan oleh Muslim)

Selain daripada doa dan bacaan Al-Quran, pahala ibu bapa juga akan bertambah kerana sedekah anaknya. Hal ini terdapat dalam hadith yang direkodkan oleh Abu Hurairah r.a.:

     "Bahawasanya seorang lelaki bertanya kepada Nabi Muhammad
     SAW, 'Sesungguhnya, bapaku sudah mati dan dia tidak
     berwasiat. Apakah ada manfaatnya sekiranya aku bersedekah
     untuknya?' Rasulullah SAW berkata, 'Ya'."

(Hadith ini direkodkan oleh Al-Bukhari dan Muslim)

Rasulullah SAW juga berkata:

     "Apabila salah seorang antara kamu bersedekah, hendaknya dia
     memberikan sedekah untuk ibu bapanya, jikalau mereka orang
     Muslim. Maka untuk pahala ibu bapanya dan juga anaknya,
     tanpa mengurangkan sedikit pun pahala ke atas ibu bapanya."

(Hadith ini direkodkan oleh Ad-Dailami)

Begitulah kedudukan anak soleh. Mereka banyak memberi keuntungan kepada ibu bapa mereka. Alangkah ruginya orang yang tidak bersungguh-sungguh dalam mendidik anak. Apatah lagi sehingga membiarkan anak-anak langsung tidak mengenal Tuhan, tidak tahu tentang ibadah dan tentang kehidupan yang sesuai dengan aturan Allah SWT, sehingga hidup seperti haiwan yang sentiasa mengikut hawa nafsu.

Anak seperti itu bukan hanya mencelakakan dirinya, malah mengheret ibu bapanya ke dalam neraka. Malah, sebelum ibu bapa meninggal dunia, anak seperti itu akan membuat ibu bapanya sengsaja. Jadi, marilah kita didik anak-anak supaya menjadi anak yang soleh yang akan memberi tambahan pahala untuk kita nanti.


Keuntungan Ibu Bapa di Dunia dan di Akhirat

Anak soleh bukan hanya memberi manfaat, membahagiakan dan menguntungkan serta memberi kebaikan di akhirat, tetapi juga pada ketika ibu bapanya masih hidup. Anak yang soleh akan melaksanakan perintah Allah SWT dan Rasul-Nya supaya mereka melakukan birrul walidain, iaitu berbuat baik kepada ibu bapa. Semua perintah Allah SWT yang berkaitan dengan birrul walidain akan memberi manfaat dan kebahagiaan kepada ibu bapa. Anak soleh bukan hanya dapat mengirim doa pada ketika ibu bapanya sudah meninggal dunia, malah dia juga akan menjadi permata hati, penyejuk jiwa, perhiasan, penglipur lara, dan sebagainya.

     Allah SWT banyak memberi sifat dan sebutan baik kepada anak-anak soleh dalam kitab-Nya. Allah SWT menjelaskan:

     "Dan juga mereka yang diredhai Allah itu adalah orang yang
     berdoa dengan berkata, Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh
     dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami perkara-perkara
     yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam
     ikutan bagi orang-orang yang mahu bertakwa."

(Surah Al-Furqan, ayat 74)

Anak soleh menjadi harapan setiap ibu bapa kerana menjadi penenang hati mereka. Dengan mempunyai anak soleh, seseorang itu sudah mendapat satu daripada tiang kebahagiaan hidup. Sebaliknya, jikalau seseorang mempunyai anak yang 'salah', dunia akan menjadi neraka baginya. Walaupun dia memiliki segala-galanya di dunia, dia tetap merasakan dunia ini sempit dan kosong kerana anak-anak yang 'salah' hanya akan membuat ibu bapa berasa resah, gelisah, dan sedih.

     Kita sering mendengar anak membunuh ibu bapa kerana mahu segera mendapat harta pusaka. Ataupun ada anak yang selalu keluar masuk penjara kerana menyalahgunakan dadah, pergaulan bebas, dan sebagainya. Semua ini membuatkan ibu bapa berasa tertekan dan kecewa.

     Seorang anak yang baik dan berbakti kepada ibu bapa serta taat kepada Allah SWT akan memberikan ketenangan dan kesejahteraan. Keluarga yang mempunyai anak-anak yang soleh pasti bahagia. Mereka bagaikan wildanun mukholladun, anak-anak yang menjadi pelayan syurga yang sentiasa menimbulkan keceriaan dan kebahagiaan.

     Mereka akan menjadi primadona dunia yang sentiasa menjadi bualan sesiapa pun yang mengenali mereka. Mereka akan menjadi contoh teladan dan inspirasi bagi sesiapa yang bergaul dengan mereka. Sikap dan perilaku mereka tidak menyusahkan masyarakat. Keperibadian mereka mengagumkan. Ketaatan mereka kepada Allah SWT menjadi ciri-ciri kehidupan mereka. Mereka hamba Allah SWT yang mempunyai sifat agung seperti yang digambarkan oleh Allah SWT dalam Al-Quran:

     "Dan hamba-hamba Tuhan yang maha penyayang itu adalah
     orang-orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati
     dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka, mereka
     mengucapkan kata-kata yang mengandungi keselamatan.

     Dan orang yang melalui malam hari dengan bersujud
     dan berdiri untuk Tuhan mereka. Dan orang-orang yang
     berkata, "Ya Tuhan Kami, jauhkan azab jahanam dari kami,
     sesungguhnya azab itu adalah kebinasaan yang kekal."

     Sesungguhnya, Jahanam itu seburuk-buruk tempat penetapan
     dan tempat tinggal.
   
     Dan juga mereka yang diredhai Allah itu adalah yang apabila
     membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada
     bakhil kedekut; dan sebaliknya perbelanjaan mereka adalah
     betul sederhana antara kedua-dua cara boros dan bakhil itu.

     Dan juga mereka yang tidak menyembah sesuatu yang
     lain bersama-sama Allah, dan tidak membunuh jiwa yang
     diharamkan Allah membunuhnya, kecuali dengan jalan yang
     hak yang dibenarkan oleh syarak, dan tidak pula berzina; dan
     sesiapa melakukan yang demikian, akan mendapat balasan
     dosanya, akan digandakan baginya azab seksa pada hari kiamat,
     dan itu pula akan kekal di dalam azab itu dengan menerima
     kehinaan, kecuali orang yang bertaubat dan beriman, serta
     mengerjakan amal soleh, maka Allah akan menggantikan
     orang itu pada tempat kejahatan mereka dengan kebaikan; dan
     adalah Allah maha pengampun, lagi maha penyayang."

(Surah Al-Furqan, ayat 63 hingga ayat 70)

Anak soleh adalah hamba-hamba Allah SWT yang memiliki sifat yang menyenangkan orang yang melihat dan menjadi contoh teladan bagi sesiapa yang mahukan kebaikan dalam hidupnya kerana sifat mereka yang agung dan mulia itu. Mereka memberi manfaat kepada manusia lain dan melahirkan keharmonian. Mereka juga taat kepada Allah SWT.

     Pada sebelah siang, mereka bergelut dengan kehidupan dunia bagi memakmurkan dunia dengan cara yang diredhai oleh Allah SWT. Manakala, pada sebelah malam pula, mereka bersimpuh di hadapan Allah SWT. Anak-anak soleh sentiasa berjalan di atas bumi dengan rasa rendah hati, kata-kata mereka menyenangkan dan mendamaikan, serta sikap mereka menjadi contoh teladan kepada setiap insan.

     Imam Ibnu Katsir memetik penjelasan Imam Hasan Al-Bashri seorang hamba Allah SWT yang soleh seperti apa yang terdapat dalam ayat di atas.

     Dia berkata, "Orang beriman adalah kaum yang suka merendahkan pendengarannya, iaitu tidak digunakan bagi mendengar yang perkara tidak diredhai Allah SWT, penglihatan mereka ditundukkan daripada melihat hal-hal yang diharamkan. Begitu juga dengan seluruh tubuh badan mereka. Orang berfikir mereka sakit, tetapi sebenarnya tidak. Mereka adalah orang yang sihat, tetapi memiliki rasa takut yang tidak dimiliki oleh orang lain. Mereka tidak menitikberatkan dunia kerana pengetahuan mereka terhadap keutamaan akhirat.

     Mereka berkata, "Segala puji kepada Allah yang menghilangkan kesusahan daripada kami."

     Demi Allah SWT, mereka tidak diresahkan dengan keresahan duniawi. Tidak ada sesuatu pun yang mereka banggakan dalam mengharap syurga Allah SWT. Ketakutan kepada neraka membuat mereka sentiasa menangis. Sesiapa yang mencari kemuliaan yang bukan kemuliaan Allah SWT, jiwanya pasti akan diresahkan oleh dunia. Dan sesiapa yang melihat nikmat Allah SWT hanya pada makanan dan minuman, sungguh kecil ilmunya dan dia akan sengsara kerananya."

     Hamba Allah SWT yang soleh menghabiskan masa mereka bersendirian pada sebelah malam dengan bersujud munajat dan berdiri solat untuk Tuhan mereka. Mereka berdoa kepada Allah SWT supaya dijauhkan dari seksa api neraka:

     "Ya Tuhan kami, jauhkanlah azab Jahanam dari kami.
     Sesungguhnya azab itu adalah kebinasaan yang kekal."

Sifat anak-anak soleh yang mengagumkan adalah mereka tidak suka berlebihan dalam membelanjakan harta. Harta mereka diinfakkan ke jalan Allah SWT. Harta mereka tidak digunakan di jalan maksiat seperti yang dilakukan oleh kebanyakan anak-anak 'salah'. Mereka juga orang dermawan. Mereka suka memberikan harta mereka kepada orang yang memerlukan. Mereka tidak kedekut demi kebaikan dan kepentingan di jalan Allah SWT.

     Dalam ayat di atas ini, Allah SWT juga menggambarkan anak soleh adalah hamba-hamba Allah SWT yang memiliki iman yang kukuh. Mereka tidak menyembah Tuhan selain daripada Allah SWT. Mereka yakin hanya Allah SWT yang patut ditaati, yang perintah-Nya diikuti, dan larangan-Nya dijauhi. Mereka juga tidak berhukum dengan selain daripada hukum Allah SWT. Mereka menjauhkan diri daripada perbuatan yang akan merugikan diri mereka dan juga orang lain. Mereka adalah orang yang jauh daripada maksiat dan dosa seperti membunuh tanpa hak kecuali dengan alasan yang benar. Mereka juga tidak berzina kerana itu adalah perbuatan kotor dan keji dan yang tidak seharusnya dilakukan oleh seorang hamba Allah SWT.

     Rasulullah SAW pernah ditanya tentang dosa yang paling besar dan Baginda SAW menjawab:

     "...menyekutukan Allah sedangkan Dia adalah Sang Pencipta." 
     Apa lagi? Baginda menjawab, "Membunuh anakmu kerana
     khuatir dia ikut makan denganmu." Apa lagi? Baginda
     menjawab, "Berzina dengan isteri tetanggamu."

(Hadith ini direkodkan oleh Ahmad)

Dalam surah yang sama, Allah SWT menggambarkan lagi sifat hamba yang soleh. Allah SWT menjelaskan:

     "Dan orang-orang yang tidak memberi penyaksian palsu dan
     apabila mereka bertemu dengan orang-orang yang mengerjakan
     perbuatan-perbuatan yang tidak berfaedah, mereka lalui sahaja
     dengan menjaga kehormatan dirinya.

     Dan orang-orang yang apabila diberi peringatan dengan
     ayat-ayat Tuhan mereka, mereka tidak menghadapinya sebagai
     orang-orang yang tuli dan buta.
   
     Dan orang-orang yang berkata, "Ya Tuhan kami,
     anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan
     kami sebagai penenang hati kami dan jadikanlah kami imam
     bagi orang-orang yang bertakwa.

     Mereka itulah orang yang dibalas dengan martabat yang tinggi
     (dalam syurga) kerana kesabaran mereka dan mereka disambut
     dengan penghormatan dan ucapan selamat di dalamnya.
     Mereka kekal di dalam syurga itu. Sebaik-baik tempat menetap
     dan tempat kediaman.

     Katakanlah kepada orang-orang musyrik, "Tuhanku tidak
     mengendahkan kamu melainkan ada ibadatmu. Tetapi,
     bagaimana kamu beribadat kepada-Nya. Padahal kamu
     mendustakan-Nya kerana itu kelak azab pasti menimpamu."

(Surah Al-Furqan, ayat 72 hingga ayat 76)

Dalam ayat di atas ini, Allah SWT menambah lagi sifat-sifat hamba yang soleh. Mereka adalah orang yang tidak memberikan penyaksian palsu, menjauhkan diri dan tidak bergaul dengan orang yang suka melakukan hal-hal tidak berfaedah, serta tetap menjaga kehormatan diri mereka.

     Mereka sentiasa memerhatikan perintah-perintah Allah SWT yang ada dalam Al-Quran dan mengamalkannya dengan bersungguh-sungguh demi mengharap keredhaan Allah SWT dan kerana taat kepada-Nya.

     Mereka selalu memohon kepada Allah SWT.

     "Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri
     kami dan keturunan kami sebagai penenang hati kami dan
     jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa."

Itu adalah antara sifat anak-anak soleh yang menjadi kebanggaan dan penyejuk hati serta penenang jiwa ibu bapa. Di akhirat nanti, mereka akan diberi balasan martabat yang tinggi di syurga kerana kesabaran mereka. Mereka mendapat sambutan dengan penghormatan dan ucapan tahniah. Mereka kekal di dalam syurga, iaitu sebaik-baik tempat kediaman.

     Anak-anak yang memiliki sifat dan karakter seperti di atas akan membawa keuntungan kepada ibu bapa mereka. Keuntungan yang akan mereka peroleh di dunia dan juga di akhirat. Antara keuntungan di dunia adalah dalam bentuk penghormatan, perhatian, kebaikan, ketenangan, kebahagiaan, dan sebagainya. Sementara di akhirat nanti, ibu bapa akan mendapat syafaat, ditinggikan darjat, dibebaskan daripada seksaan, dan pelbagai bentuk kebahagiaan lain. Jadi, jangan sia-siakan anak kita!


Ibu Bapa Boleh Masuk Syurga kerana Anaknya

Sekiranya anak mempunyai amalan yang baik, dia dapat memohon kepada Allah SWT supaya ibu bapanya juga dimasukkan ke dalam syurga. Doa anak soleh memang hebat dan pasti dikabulkan oleh Allah SWT. Alangkah rugi seandainya ibu bapa tidak berusaha sedaya upaya mendidik anak menjadi anak-anak yang soleh. Kerana anak-anak soleh inilah, ibu bapa dimasukkan ke dalam syurga oleh Allah SWT.

     Ibnu Abbas berkata, "Kadang-kadang anak lebih soleh daripada bapanya, jadi dia dapat memberi syafaat kepada bapanya." Ibnu Zaid pula menyatakan dalam kita Fathul Qadir, "Keuntungan anak soleh dapat dirasakan di dunia dan di akhirat."

     Di dunia, anak soleh pasti membahagiakan ibu bapanya dengan pelbagai perbuatan baik, penghormatan, bakti, pergaulan yang baik, dan lain-lain perkara yang menyenangkan hati ibu bapanya. Tidak ada kebahagiaan yang dicari oleh manusia selain daripada kebahagiaan di dunia dan di akhirat, dan itu dapat dinikmati dengan memiliki anak yang soleh.

     Dalam sebuah hadith yang direkodkan dalam kitabSilsilatut Tafsiir karya Musthafa Al-'Adawi, "Pada hari kiamat nanti, Allah SWT menjelaskan kepada malaikat, "Masukkanlah anak-anak kecil ini ke dalam syurga." Tetapi, anak-anak itu tidak mahu masuk ke dalam syurga. Allah SWT menjelaskan, "Aku melihat mereka tidak mahu masuk ke syurga." Anak-anak itu berkata, "Ya Tuhan kami, kami tidak akan masuk ke dalam syurga sehingga ibu dan kami juga masuk ke dalam syurga." Allah SWT menjelaskan, "Masukkan mereka bersama ibu bapa mereka ke dalam syurga." Kesolehan seorang anak sangat bermanfaat kepada ibu bapanya dan begitu juga sebaliknya. Kesolehan ibu bapa juga bermanfaat bagi anaknya. Allah SWT menjelaskan:

     "Dan orang-orang yang beriman dan yang anak cucu mereka
     mengikut mereka dalam keimanan, Kami hubungkan anak
     cucu mereka dengan mereka, dan Kami tidak mengurangkan
     sedikit pun daripada pahala amal mereka. Setiap manusia
     terikat dengan apa yang dikerjakannya."

(Surah At-Tur, ayat 21)

Dalam tafsir Kementerian Agama Republik Indonesia, ditulis tentang maksud ayat di atas, iaitu anak cucu mereka yang beriman itu ditinggikan darjatnya oleh Allah SWT, begitu juga dengan darjat bapa-bapa mereka, dan dikumpulkan mereka dengan bapa-bapa mereka di dalam syurga.


=============================================================================

          Apa yang dimaksudkan dengan dzurriyah? Apakah yang dimaksudkan
          itu hanya anak, ataupun anak, cucu, dan seterusnya? Pada suatu waktu,
          dzuriyyah memang dimaksudkan anak sahaja, tetapi pada ketika lain,
          dzuriyyah bermakna anak, cucu, cicit, dan seterusnya. Tetapi, yang jelas,
          dzuriyyah selalu merujuk kepada anak. (Mushtafa Al-'Adawi: Silsilatul
          Tafsiir)

          Jadikanlah anak sebagai pelaburan masa hadapan bagi meraih kebahagiaan
          hakiki di syurga nanti. Jangan abaikan anak-anak kerana itu akan
          menjadikan ibu bapa sengsara di dunia dan akhirat. Apalah maknanya
          meminta kehidupan yang baik di dunia dan akhirat seandainya apa yang
          sudah ada dalam genggaman, iaitu anak-anak tidak kita jadikan sarana bagi
          meraih kedua-dua kebahagiaan itu. Wallahu a'lam bish-shawab.

=============================================================================

No comments:

Post a Comment