Sunday 23 June 2013

Sembuh Tanpa Ubat Pengubatan Tertua

بِسۡـــــــــمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِـــــــيمِ
اللهم صل على محمد وآل محمد
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

SEMBUH.TANPA.UBAT

PUSRAPI

YAKINLAH AKAN FIRMAN ALLAH : Surah Asy- Syu'araa' Ayat 80 - 
"Dan apabila aku sakit, maka Dia lah yang menyembuhkan penyakitku.











KES GANGGUAN 
Update : 23 Zulkaedah 1434 / 29 September 2013

23 Zulkaedah 1434 - Pesakit yang datang kePusrapi - Mengadu masalah gangguan yang dialaminya membuatkan hidupnya sentiasa dalam ketakutan, setiap kali tidur malam akan mengalami mimpi yang kurang enak seperti mimpi manusia berwajah seram, bisikan suara halus, kerap nampak kelibat manusia dalam rumah sedangkan saya hanya seorang, mimpi ular, mimpi jatuh tempat tinggi & sebagainya, kes ini berlarutan hampir 3 tahun, saya telah menjalani pelbagai perawatan tidak kira yang Moden atau Alternative. Alhamdulillah selepas menjalani kaedah perawatan Bekam Sunnah diPusrapi dengan izin Allah saya dapat merasakan kembali tidur yang nyenyak tanpa gangguan seperti sebelum ini yang saya alami. Gambar Bekam Sunnah pesakit diatas jelas tergambar wajah sosok makhluk yang berada pada badan pesakit akhirnya keluar dengan izin Allah S.W.T.

KES KANSER PAYU DARA 
Update : 31 July 2013

21 July 2013 (22 Ramadan 1434) - Alhamdulillah salah seorang pesakit kanser payu dara yang mendapatkan rawatan di Pusrapi selama 25 hari telah menampakkan perubahan pada payu daranya dengan amat ketara sekali. Beliau pada mulanya telah dihantar kehospital untuk mendapatkan rawatan, Doktor yang merawatnya mengesyorkan pesakit untuk menjalani pembedahan membuang sebelah payu daranya kemudian rawatan yang seterusnya menjalani kaedah KIMO untuk mengelakkan dari sakit kansernya berulang kembali. Namun setelah pesakit menerima penjelasan dari Doktor, dia meminta kebenaran pihak hospital untuk keluar & menangguhkan perawatan di Hospital beliau ingin mencuba kaedah Alternatif dahulu. Sehinggalah datang seorang kawan ibunya yang menziarahinya telah mengesyorkan pesakit ini untuk mendapatkan rawatan di Pusrapi.


Keadaan Pesakit Sebelum Menjalani Rawatan.
     Menurut ibunya sebelum menjalani rawatan di Pusrapi keadaan anaknya semakin tidak terurus, badan semakin lemah, makan tak lalu, sakit urat seluruh badan, kerap sembelit, sukar untuk membuang, kerap tidak dapat tidur setiap malam, setiap hari anak perempuan mak cik akan menangis, mak cik tak boleh tengok dia menangis, nanti mak cik pun akan menangis juga, mak cik hanya punya anak perempuan seorang anak lelaki mak cik tiga orang semua dah meninggal dari kecil. Mak cik akan susah hati bila lihat keadaan anak mak cik jadi macam ni.....inilah keluhan dari ibunya bila datang di Pusrapi.

Keadaan Pesakit Selepas Menjalani Rawatan.

      Alhamdulillah....Mak Cik amat terkejut dengan perubahan anak mak cik....la ni dia dah boleh makan macam biasa, selera makan pun dah ok,...Kalau dulu ni masa dia sakit semua serba tak kena, semasa isi daging dia tersembol keluar, mak cik jenuh duk dengar leteran orang kampung...."Awat tak hantar anak hang kehospital, tetek dia dah pecah dok biar buat pa nanti bahaya".....Anak makcik tabah dia kuatkan semangat bila dia dah dapat penjelasan lengkap dari Pusrapi....Anak mak cik yakin....dia ikut segala cara makan, cucian yang disyorkan oleh Pusrapi. Mak cik syukur  pada Allah.....Setiap hari anak makcik cuci payu daranya, akan jatuh satu persatu daging yang hitam-hitam, dari awal keluar tersembul tergayut panjang sampailah sebesar duit lima kupang & semakin nak bercantum isinya, lagi satu anak mak cik tidak lagi mengadu sakit, katanya dia tak rasa apa-apa bila dicuci, setiap kali lepas sesi bekaman dari mula rasa berat kembali rasa ringan.

Insyaallah sama-sama kita mendoakan yang terbaik untuk pesakit ini. Amin

KENCING MANIS

03 JULAI 2013 – Syukur Alhamdulillah berkat kesabaran pesakit ini, serta kesungguhannya yakin dengan kaedah Perubatan Islam yang dijalankan di PUSRAPI dengan izin Allah S.W.T Yang Maha Kuasa telah menunjukkan kebesarannya dimana pesakit yang mengalami luka dibahagian ibu jari kaki disebabkan tersepak batu yang tajam akhirnya telah sembuh sepenuhnya. Kesan luka yang besar pada bahagian itu, mulai tumbuh isi dan meliputi keseluruhan lubang yang sebelum ini jelas kelihatan…

Alhamdulillah dengan izin Allah, Proses rawatan mengambil masa 1 bulan lebih kini beliau kembali cergas dan ceria dalam menjalani kehidupannya. Beliau berasa amat beruntung kerana telah bertemu dengan cara kaedah yang sebenar dalam mencari ikhtiar pengubatan yang lebih selamat untuk dirinya..

Kami warga PUSRAPI JITRA berasa bersyukur dgn perubahan yang dialami oleh pesakit, yang membuatkan pihak kami akan meneruskan Jihad mengajak ramai lagi pesakit diluar sana agar tidak mengamalkan perubatan yang berasaskan kimia&racun yang membahayakan kesihatan untuk jangkamasa panjang. Demi kesejahteraan Ummah Insan Terbaik, PUSRAPI sentiasa bersama anda.InsyaAllah..

18 Syaaban 1434 - Kes yang menimpa seorang pesakit mengalami pereputan tapak kaki pada bahagian tumit tanpa disedari olehnya, semasa beliau sedang memasak berdiri didapur tiba-tiba kakinya berasa tenggelam dan berasa senget sebelah, bila dilihat pada kakinya tulang kakinya reput tanpa rasa sakit. Beliau telah lama mengamalkan ubat kencing manis hingga setiap hujung jari kakinya berasa kebas setiap kali berjalan ada kalanya berasa seperti nak tumbang.

18 Syaaban 1434 - Kes yang menimpa seorang pesakit mengalami pereputan tapak kaki pada bahagian tumit tanpa disedari olehnya, semasa beliau sedang memasak berdiri didapur tiba-tiba kakinya berasa tenggelam dan berasa senget sebelah, bila dilihat pada kakinya tulang kakinya reput tanpa rasa sakit. Beliau telah lama mengamalkan ubat kencing manis hingga setiap hujung jari kakinya berasa kebas setiap kali berjalan ada kalanya berasa seperti nak tumbang.

KANSER PAYUDARA!

Kanser payudara terjadi apabila sel normal payudara bertukar struktur dan merebak. Ia menjangkiti tisu dan bahagian lain yang berdekatan seperti kelenjar atau lobul, pembuluh darah, salur limfa dan nodus limfa. Kebiasaannya tumor terbentuk kerana pengumpulan sel abnormal. Kesemua jenis tisu di dalam payudara boleh membentuk kanser tetapi biasanya ia bermula di dalam kelenjar atau duktus.


Kanser payudara meyumbangkan peratus yang tertinggi bagi penyakit kanser di kalangan wanita. Kanser payudara berada di tangga kelima bagi kadar kematian akibat kanser dan merupakan penyumbang utama kematian akibat kanser di kalangan wanita. Di sepanjang hidupnya seseorang wanita mempunyai risiko mengidap kanser payudara sebanyak 1 dalam 8 dan kemungkinan meninggal dunia akibatnya adalah 1 dalam 28. 


Hampir semua ubat - ubatan mempunyai potensi memberi kesan sampingan kepada seseorang pesakit. Kadangkala kesan sampingan itu tidak disedari kerana tanda - tandanya hampir sama seperti penyakit - penyakit seperti jangkitan - jangkitan , penyakit alahan , penyakit metabolik dan sebagainya. Ada ubat - ubatan yang membawa kepada penyakit kulit , penyakit mata , penyakit hati (liver) , buah pinggang , penyakit sistem digestif dan membawa kesan urat - saraf. Kesan sampingan ini boleh disebabkan oleh terlalu banyak makan ubat , kurang ketahanan kepadanya (intolerance) , Idiosinkrasi atau alahan. 



Pesakit di atas mengalami kesan sampingan terhadap ubat kimia yang diberikan atas penyakit resdung yang kronik. Dengan kaedah rawatan PUSRAPI lakukan adalah menggunakan bahan semulajadi untuk memulihkan allergic pesakit tanpa ada kesan buruk terhadap pesakit dan memberikan kesan pemulihan dengan segera dan tidak menyakitkan. Untuk keterangan Lebih Lanjut Sila Hubungi Cawangan Pusrapi Berdekatan.





9 Syaaban 1434 @ 18 Jun 2013 : Menurut ibunya anaknya mula mengidap penyakit ini semenjak umurnya dari 7 tahun hinggalah sekarang dia berumur 15tahun. Ujian disekolah, jiran, pandangan masyarakat terhadap anaknya amat memberi tekanan kepada kami sekeluarga. Itulah rintihan seorang ibu...terhadap ujian yang berlaku kepadanya. Jom kita doakan yang terbaik buat pesakit ini.

























18 Syaaban 1434-Alhamdulillah saya tidak pernah merasa kelegaan mengubati sakit saya dapat diatasi hanya dengan kaedah berbekam. Syukur pada Allah mengizinkan saya pulih kembali.

18 Syaaban 1434-Saya habis duit banyak untuk mengatasi masalah sakit lutut, selepas menjalani kaedah bekam diPusrapi, lutut saya berasa amat ringan & tidak lagi rasa seperti hirisan pisau pada kulit kaki. Saya sangat bersyukur.

18 Syaaban 1434-Saya telah lama tidak boleh solat seperti kebiasaan, bertapa hilangnya nikmat bila terpaksa bersolat dalam keadaan duduk. Setelah 2 kali menj alani perawatan bekam diPusrapi, dengan izin Allah saya kini kembali boleh solat seperti sediakala. Alhamdulillah Allah maha kaya. Amin.



Jom Relax Mind Jap dengan gelagat Panda Ni :)
Senyum Ok....Sunnah Nabi :)



والله أعلم بالصواب
Wallahu A’lam Bish Shawab

 (Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)

Ilmu Pengurusan Jenazah

بِسۡـــــــــمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِـــــــيمِ
اللهم صل على محمد وآل محمد
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Definasi
Mati adalah bercerai roh dari badan, tetapi ianya bukanlah satu babak yang penyudah dalam arena kehidupan di dunia, malah ianya sebagai suatu proses sementara bagi menempuh kehidupan yang kekal abadi yang bermula dari alam kubur. Setiap makhluk ini tidak terlepas dari mati.
Maksud Firman Allah s.w.t :
"Setiap yang bernyawa akan merasai mati dan sesungguhnya pahala kamu akan dibalas pada hari Khiamat."
( Surah Ali Imran ayat 185 )

Kematian akan mengejar ke mana saja kita berada, ia akan tiba pada bila-bila masa tanpa diundang dan tanpa menerima tempoh. 
Maksud Firman Allah s.w.t:
"Apabila sampai ajal maut seseorang itu ia tidak dapat ditunda atau dipercepat, walau sesaat pun."
(Surah al-A'raf ayat 34)
(Surah an-Nahl ayat 61)

Sesungguhnya kematian itu tidak pernah diundang atau dijemput, ia tidak pernah berkompromi, tidak memilih martabat atau dalam keadaan sedar atau berkhayal, dalam taqwa atau maksiat. Kematian itu pasti mencari di mana saja roh berada.
Maksud Firman Allah s.w.t :                                                                                          
"Di mana saja kamu berada, kematian itu akan mendapatkan kamu sekalipun kamu berada dalam kubu yang kukuh."                                               
(Surah an-Nisaa' ayat 78)


Kematian adalah sesuatu yang pasti dan kita harus bersedia menghadapinya kerana ia merupakan titik permulaan kepada penghidupan yang kekal abadi. Hanya mukmin yang dipanggil menghadap Tuhannya dengan hati bersih memperolehi kejayaan.


Menguruskan jenazah adalah merupakan perkara yang tidak boleh kita elakkan begitu sahaja. Ianya merupakan fardhu kifayah ke atas umat Islam. Dengan adanya sebahagian umat Islam yang mengetahuinya akan selesailah tanggungjawab itu.

Namun dalam keadaan sekarang ini, kesedaran di kalangan generasi muda untuk melaksanakan tanggungjawab ini amat tipis sekali. Ramai dari generasi muda yang tidak tahu cara-cara menguruskan jenazah dan hanya menyerahkan sepenuhnya kepada jenerasi yang lebih tua dari mereka untuk melaksanakannya. Bayangkanlah suatu hari nanti ayah atau ibu kita meninggal dunia. Tergamakkah kita membiarkan orang lain menguruskannya sedangkan diri kita hanya melihat tanpa sebarang ilmu. 

Sejajar dengan itu maka terbitlah halaman web ini bagi memberikan sedikit bimbingan dan panduan. Seperkara yang perlu diingat di samping kita menguruskan jenazah, diharap ianya dapat menjadi pengajaran kepada kita yang masih hidup untuk bersiap sedia menuruti jejaknya suatu hari nanti. Dengan adanya panduan-panduan ini adalah diharapkan sedikit sebanyak dapat memberi pengetahuan kepada para pelawat jika berlaku sesuatu kematian agar dapat membantu menguruskannya. Marilah kita memahami kehendak fardhu kifayah ini, moga-moga ianya dapat menjadi penyambung kesempurnaan dalam pengamalan syariat agama kita.  

Reaksi Masyarakat
Kita telah melihat dan akan melihat dua suasana yang berbeza antara satu  sama lain dalam menghadapi kematian. Ada yang ngeri lagi takut mereka belum bersedia dengan bekalan yang sewajarnya, terlukis dalam alam khayalannya terbujur kaku tanpa teman, pucat lesi, tidur tidak berbantal dan beralas, takut hantu serba ragam yang bergolak dalam fikiran yang kusut lagi buntu. Manakala satu pihak lain, mereka merasa redha dan menanti kedatangan maut itu dengan senang kerana mereka sudah bersedia dengan amalan yang membawa kesejahteraan dan kenikmatan kepadanya.

Hukum Ingat Mati
Walau bagaimanapun keadaan yang bergolak dalam pemikiran manusia. Namun Islam menganjur umatnya (sunat) supaya mengingati mati. Samada cara termenung menggambarkan saat-saat kematian itu ditempuhi, menziarahi orang sakit, menziarahi kubur, menghantar jenazah ke kubur dan sebagainya.   

Mengingati mati adalah berbeza hukumnya dengan bercita-cita hendak mati, kerana bercita-cita hendak mati yang nekad dengan putus asa, tidak sabar atas penderitaan adalah bukan sifat seorang Islam mukmin dan ditegah oleh syarak ( haram ) kerana nekad sedemikian kadangkala boleh membawa pembunuhan diri. 

Adapun memohon dipendekkan umur dengan sebab kezaliman yang berlaku dan tidak ada jalan bagi menghindarinya adalah diharus dengan secara bersandar, seperti kata doanya, bermaksud :
"Ya Allah hidupkanlah aku sekiranya kehidupan itu memberi kebaikan kepadaku dan matikanlah aku sekiranya kematian itu menjadi kebaikan kepadaku"

Hikmah Ingat Mati
Dengan mengingati mati akan menimbul rasa taqwa yang mendalam untuk menjunjung perintah Allah s.w.t. dan meninggalkan segala  larangannya. Serta bersungguh-sungguh berusaha memperbanyakkan harta kebajikan, dan pelajaran sama ada untuk diri atau keluarganya.

Timbul rasa kasih sayang serta muhabbah sesama manusia, khususnya keluarga, jiran dan masyarakat setempat yang kelak disebut orang dengan kebaikan.

Lahir perasaan tanggungjawab hendak membimbing diri dan keluarganya supaya bersungguh-sungguh beramal dan berbuat kebajikan dalam menuntut keredhaan Allah.

Ziarah Kubur
1.1 Tersebut  dalam  kitab  I'anah At-Thalibin, adalah sunat bagi kaum lelaki menziarahi kubur dan makruh bagi kaum wanita. Ini beralasan suatu ketika Rasulullah s.a.w. melihat seorang wanita menangis atas kubur anaknya.
Maka sabda baginda, maksudnya:
"Bertaqwalah kepada Allah dan bersabarlah"                                                                           
(Ittifaq Bukhari dan Muslim)
Kalaulah haram wanita ziarah kubur nescaya ditegahnya wanita itu. Adapun hadith yang bermaksud, "Allah melaknat wanita-wanita menziarahi kubur" memberi erti wanita yang datang meraung, menangis di atas kubur boleh mendatangkan fitnah, sememangnya dilarang. Sebahagian ulamak mengatakan hadith melarang wanita ziarah kubur telah dimansuhkan oleh hadith yang bermaksud:
Dari Buraidah al-Aslami r.a. katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda: Aku dahulu melarang kamu dari menziarahi kubur, maka sekarang ziarahlah kubur (kerana ada baiknya)."
(Riwayat Muslim)                                                    

1.2 Ketika sampai di kawasan kubur adalah sunat memberi salam.
    
1.3 Menghadiahkan  bacaan  ayat  suci  al-Quran,  terdapat  dalam hadith Nabi menganjur supaya membaca :
i. Surah Yaasin

ii. Surah al-Ikhlas
     
iii. Surah al-Falaq            
                        
iv. Surah an-Nas

v. Surah al-Fatihah

1.4 Islam melarang  menziarah kubur. Jika menjadikan kubur itu sebagai Tawassul, memuja atau dijadikan temasya.

1.5 Berdoa kepada arwah   
Tersebut dalam kitab al-Azhar, kata Imam Nawawi telah menjadi Ijmak Ulama' (Assyafieyah) bahawa berdoa dan menghadiahkan pahalanya kepada orang-orang islam yang telah meniggal dunia berfaedah dan sampai pahalanya. Dalam kitab al-Irsyad wa syarhih Ibnu Hajar menambah samada doa itu dari warisnya atau orang lain.
Dalilnya firman Allah s.w.t. surah  al-Hasyr ayat 10 yang bermaksud:
"Dan orang-orang Islam yang datang kemudian daripada mereka berdoa dengan katanya, wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang telah mendahului kami."

1.6      Wanita Ziarah Kubur
Terdapat sebahagian ulama' mengatakan sunat bagi wanita menziarahi makam Rasul, Ambia, Para Ulama' dan orang-orang solih (lihat l'anah at-Thalibin)

Ziarah Sakit & Kematian
2.1 Islam  menggalakkan  umatnya  (sunat)  supaya  menziarahi  orang  sedang sakit. Ini merupakan satu kebajikan masyarakat kepada pesakit dan melahirkan rasa simpati terhadap keluarga pesakit.
Maksud sabda Rasulullah s.a.w.:
"Dan apabila sakit hendaklah ziarahinya dan apabila meninggal dunia hendaklah menghantarnya ke kubur."                                                                                       
(Riwayat Bukhari) 
2.2 Ziarah Kematian  
 Daripada Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya:
"Sesiapa yang hadir menziarah jenazah sehingga dia dapat menyembahyangkannya, maka baginya mendapat pahala sebuah gunung dan sesiapa hadir menziarah sehingga jenazah itu dikebumikan. Maka ia  mendapat pahala sebesar dua buah gunung."                                                                             
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

2.3 Tatasusila Semasa Menziarahi
i. Hendaklah melahirkan perasaan muhibbah, bersimpati dan bermanis muka ketika bercakap dengan pesakit atau keluarganya. Jangan sekali-kali mengeluarkan perkataan-perkataan yang boleh melukakan hatinya.

ii. Nasihatkan dia supaya bersabar, teguhkan iman dalam menghadapi ujian Qadha dan takdir Allah.

iii. Sunat berdoa supaya cepat sembuh dan panjang umur. Sewaktu Nabi s.a.w.menziarahi orang sakit baginda berdoa, maksudnya :

"Wahai Tuhan ! Manusia hapuskanlah penderitaan ini, sembuhkanlah, tidak ada penyembuh melainkan Engkau sahajalah berkuasa menyembuh tanpa meninggalkan kesan buruk."                                                                      
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

iv. Perlu juga para penziarah memahami situasi supaya jangan tunggu terlalu lama semasa membuat kunjungan.

v. Berwasiat kepada waris terdekat tentang hutang piutang pesakit yang belum dijelaskan.

vi. Jangan menghisap curut atau merokok semasa berhadapan dengan orang  sakit.

vii. Jangan berkumpul terlalu ramai sehingga kesesakan udara untuk bernafas.

viii. Jangan membuat bising dengan gelak ketawa melalui cerita-cerita lucu. Kita  harus ingat suasana majlis itu kesedihan.

Tanda-tanda Nazak
Orang yang sakit tenat sebelum menghembuskan nafas terakhir kebiasaannya didatangi beberapa tanda yang ketara atau sebaliknya, di antara tanda-tanda tersebut ialah :
1.1 Tapak kakinya lurus

1.2 Hidungnya tunduk pucat tidak berpeluh

1.3 Sendi pergelangan tangan renggang

1.4 Keningnya luas tergonggong biji mata

1.5 Lidah kelu dan tertutup selera

1.6 Tidak mengecam sahabat-sahabat atau keluarga dengan penglihatan (kabur penglihatan)

1.7 Perubahan tabiat

1.8 Terlalu dahaga sentiasa minta air

1.9 Meminta sesuatu yang ganjil

2.0 Mata selalu tenung ke atas

2.1 Tidak ada timbal balik pernafasan.

Amalan Sunat
Apabila terdapat beberapa tanda-tanda tersebut adalah disunat melakukan :
2.1 Ajar mengucap ditelinganya  La ilaha illallah setelah ia mengucap, maka tidak perlu lagi diulangi melainkan jika ia diselangi pula dengan ucapan keduniaan.
Sabda Nabi s.a.w. maksudnya :
"Ajarkanlah orang yang hampir mati itu La ilaha illallah."

2.2 Membaca Surah Yaasin
Sabda Nabi s.a.w. maksudnya :
"Kamu bacakanlah Yaasin kepada orang yang hampir mati."

2.3 Titik air ke dalam mulutnya
Basahkan muka dan dadanya dengan air. Kerana Nabi s.a.w. ketika hampir wafat meminta semangkuk air dan membaca Surah Ikhlas, Surah al-Falaq dan Surah an-Nas, lalu dibasuh muka dan menyapu dadanya.


Urusan Jenazah
Menurut hukum syarak, apabila seseorang Islam itu meninggal dunia, wajiblah ia dimandikan, dikafankan, disembahyangkan dan dikebumikan. Kewajipan ini adalah FARDU KIFAYAH.

Sejurus Ajal
2.1 Baca Innalillahi wainnahilaihi raji'uun

2.2 Sapu matanya supaya pejam dan sunat membaca
      Bismillahiwa'ala malatu Rasulillahisallallahu'alaihi   
      wassallam                            

2.3 Sapu pada sendi-sendi dengan minyak yang bersih, supaya anggotanya lembut dan tidak kejang, kaku supaya ia mudah dimandi dan dikafankan.

2.4 Salin pakaian bersih jika pakaiannya kotor

2.5 Ikat dagu supaya mulut tidak terbuka

2.6 Letak mayat atas tempat tinggi seperti katil atau sebagainya dengan mukanya menghadap kiblat.

2.7 Letak benda-benda berat (sekitar 400 gram) ke atas perutnya supaya tidak menjadi kembung.

2.8 Letakkan tangan di atas dadanya seperti 'mengangkat takbir dalam sembahyang' serta menutup seluruh tubuhnya dengan kain.

2.9 Bakar bau-bauan seperti gaharu, kemenyan supaya kawasan sekelilingnya harum.

2.10 Uruskan pengurusan pentadbiran jenazah, perkara-perkara utama ialah :
i. Jawatankuasa masjid /surau / badan kebajikan dan sebagainya.

ii. Polis atau hospital

iii.Tanah perkuburan

iv.Mandi, kafan, sembahyang dan kebumikan.

Hukum Kafan
Hukum syarak mengenai mengkafan mayat diterangkan dalam hadith berikut:
Dari 'Aishah r.a. katanya: "Rasulullah s.a.w. (semasa wafatnya) telah dikafankan dalam tiga helai kain putih 'sahuli'* dari kapas; tidak mengandungi baju kamis dan tidak juga serban."**
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Semasa hayatnya Rasulullah s.a.w. menerangkan bahawa sebaik-baik pakaian ialah yang berwarna putih (yang melambangkan kebersihan dan kesucian), demikian juga warna kain kafan.
Dari Ibnu Abbas r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda: "Pakailah yang putih dari pakaian kamu, kerana pakaian yang putih itu adalah sebaik-baik pakaian kamu; dan kafankanlah orang mati dari kalangan kamu dalam kain putih juga."***
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Cara Mengkafan
Menurut huraian ulama, 'kafan' yang wajib bagi mayat ialah sehelai kain yang dapat menutup aurat dan membalut tubuhnya.
Boleh digunakan sebarang kain yang biasa dipakai oleh si mati semasa hidupnya tetapi yang afdhal ialah kain putih seperti yang diterangkan dalam hadith yang lalu. Kain kafan, sungguhpun yang wajibnya ialah selapis, namun 'mayat lelaki' sunat dikafankan dalam tiga lapisan (tiga potongan kain), tiap-tiap satu dapat menutup seluruh badannya - dari hujung rambut hingga ke hujung kakinya.

Mayat lelaki tidak harus dikafankan dalam kain sutera kerana haram bagi lelaki memakainya semasa hidup. Sebaliknya mayat perempuan boleh dikafan dalam kain sutera ia halal dipakai oleh perempuan. Setengah ulama pula mengatakan makruh hukumnya jika mayat perempuan dikafankan dengan kain sutera kerana perbuatan yang demikian adalah membazir dan kain yang mahal-mahal lebih layak dipakai oleh orang yang hidup.

Jika sukar mendapat sebarang kain (kerana keadaan darurat), maka mayat boleh dikafankan dengan sebarang benda yang boleh membalut badan - seperti tikar, daun-daun pokok tanaman dan sebagainya.

'Mayat lelaki' juga harus dikafankan dalam lima lapis, iaitu tiga lapis tersebut tadi, ditambah dengan baju dan serban.* (Kerana Ibnu 'Umar r.a. telah mengkafankan mayat-mayat keluarganya dengan lima lapis termasuk baju dan serban)

'Mayat perempuan' pula sunat dikafankan dengan lima lapis**, iaitu kain yang membalut bahagian badannya; antara pusat dan lututnya; kemudian baju kurung; kemudian telekung yang menutup kepala; kemudian dua lapis kain lebar yang dapat membalut seluruh tubuhnya, dari hujung rambut hingga ke hujung kakinya.*** 'Mayat khunsa demikian juga.***
'Mayat kanak-kanak' sama hukumnya seperti 'mayat orang dewasa'.***

Belanja kain kafan dan lain-lain berhubung dengannya, hendaklah dari si mati. Kalau ia tidak tinggalkan harta, hendaklah ditanggung oleh warisnya, kalau tiada waris, hendaklah ditanggung oleh Baitulmal. Kalau Baitulmal tidak ada, atau Baitulmal ada tetapi sukar mendapat perbelanjaan, maka belanja mengkafannya ditanggung oleh orang yang mampu di kawasan itu.****

Jika si mati itu perempuan yang ada suami dan ia tetap taat (tidak menderhaka atau nusyuz pada suami), maka belanja mengkafannya ditanggung oleh suaminya yang mampu, sekalipun isteri yang mati itu kaya, atau telah diceraikan tapi dalam edah talaq yang boleh dirujuk, atau diceraikan dengan talaq yang tidak boleh dirujuk tetapi ia dalam keadaan mengandung.****


Hukum dan Syarat

HUKUM MANDI
Hukum syarak mengenai mandi mayat diterangkan dalam hadith berikut, yang bermaksud :
Dari Umu 'Athiah al-Ansariah r.a. katanya: Rasulullah s.a.w. masuk ke tempat kami ketika anak perempuannya* wafat lalu bersabda: "Mandikanlah dia dengan tiga kali, atau lima kali atau lebih dari itu - jika kamu pandang elok tambahan yang demikian - iaitu dengan air, dan serbuk daun bidara, dan campurkan sedikit kapur barus pada kali yang akhir, setelah kamu selesai memandikannya beritahu kepadaku."
Setelah selesai, kami pun memberitahu kepada baginda, lalu baginda memberi kepada kami kain sarungnya sambil bersabda,"Balutlah badannya dengan kain ini." **
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Nota
Setelah mereka memandikan jenazah puterinya, baginda melucutkan kain sarung (azar) yang dipakainya dan meminta mereka membalut tubuh mayat puterinya. Sesudah itu barulah mayat puterinya dikafan dengan kain kafan yang disediakan. Alhafiz Ibni Hajar rah.a. berkata, "Perbuatan baginda yang demikian menjadi dasar (bagi amalan orang Islam) mengambil berkat daripada benda-benda pemberian atau peninggalan orang salih."
(Fathul Bari 3:372)

SYARAT MANDI
Mandi dengan merata air ke seluruh anggota badan jenazah.
Syarat mayat dimandikan.
1.1 Hendaklah mayat orang Islam.

1.2 Cukup anggota atau sebahagian badannya.

1.3 Berumur enam bulan atau kurang, tetapi telah lengkap anggotanya.

1.4 Mayat itu bukan mati syahid.

Tempat Mandi
2.1 Dibuat tempat yang tertutup. 2.2 Letak mayat di atas tempat yang tinggi sedikit. 2.3 Aurat mayat wajib ditutup dengan kain supaya tidak kelihatan warna kulit. 2.4 Disunatkan menutup mukanya, (juga ketika dibawa ke tempat mandi), di letakkan terlentang di atas papan mandi dan menghadap arah kiblat. 2.5 Membakar sedikit bau-bauan seperti gaharu atau kemenyan. 2.6  Dilarang orang yang tidak berkenaan dengan urusan mandi mengintai-intai ketika mayat dimandikan.

Tertib Mandi
3.1 Menjirus dan menggosok jenazah dengan  tertib dan lemah lembut, jangan gopoh dan kasar.

3.2 Jangan sengaja hendak melihat aurat mayat. Semasa memandikan mayat hendaklah menutup badannya supaya auratnya terlindung*. Elok demikian dalam sehelai kain sarung yang nipis supaya air meresap masuk dan mudah pula bagi orang yang memandikan memasukkan tangan untuk membersihkan mana-mana bahagian mayat yang perlu dibersihkan.

3.3 Mayat lelaki dimandikan oleh orang lelaki, mayat perempuan, kanak-kanak baru lahir dimandikan oleh orang perempuan.

3.4 Orang yang memandikan mayat dan penolongnya hendaklah orang yang amanah - supaya mereka dapat menjalankan tugas dengan sempurna dan dapat menyimpan rahsia keaiban yang ada pada mayat.

3.5 Sebaliknya jika melihat sesuatu yang baik hendaklah mereka ceritakan pada orang lain.

3.6 Tempat mandi hendaklah terlindung dari pandangan ramai. Hanya tukang mandi dan penolong-penolongnya saja yang boleh hadir. Dalam pada itu, dibolehkan bagi salah seorang kerabat si mati yang terdekat untuk turut hadir walau tidak mengambil bahagian memandikan mayat.**

3.7 Jangan mengangkat suara riuh.

3.8 Jangan  mengunyah makanan atau merokok.

3.9 Wajib memakai sarung tangan sewaktu  menyuci kemaluan atau mengurus mayat pengidap Aids.

Cara Mandi
Sebelum Mandi
Dibersihkan najis mayat (meruang) dan membersihkan segala kekotoran atau getah, cat, plaster dan sebagainya yang terlekat pada badan atau kuku mayat. Hendaklah mengosongkan perut terlebih dahulu - kalau ada benda-benda kotor yang boleh keluar, supaya tidak lagi keluar sesudah ia dimandi dan dikafankan.
     
Caranya: Dudukkan mayat (di atas papan mandi) dalam keadaan condong sedikit ke belakang, dan menahan belakangnya dengan lutut kanan sambil memegang belikatnya dengan tangan kanan (dengan meletak ibu jari di tengah-tengah tengkuknya supaya kepalanya tegak), dan urut perutnya perlahan-lahan dengan tangan kiri.

Siram air banyak-banyak untuk membersihkan benda-benda yang keluar.

Setelah dikosongkan perut dan dbersihkan benda yang keluar, hendaklah ditelentangkan semula mayat itu di atas papan mandi dan dicebokkan oleh orang yang memandikannya dengan membersihkan kemaluan dan celah-celahnya (menggunakan sarung tangan).

Dengan sarung tangan bersih, tukang mandi hendaklah membersihkan gigi mayat, lubang hidunganya, lubang telinga dan celah-celah kukunya. Kemudian diwudhu'kan dengan sempurna (meliputi yang fardhu dan sunat). Setelah itu baru dimandikan - dari bahagian kepala hingga ke hujung kaki - meliputi seluruh tubuhnya.
Cara Mandi
Basuh seluruh kepala, muka dan lehernya 3 kali.

Basuh sebelah kanan (lambung kanan) meliputi bahu, ketiak, tangan kanan, dada, rusuk, perut, kemaluan, celah-celah kelangkang dan paha kanan hingga ke hujung kaki kanan 3 kali.

Basuh sebelah kiri (lambung kiri) meliputi bahu, ketiak, tangan kiri, dada, rusuk, perut, kemaluan, celah-celah kelangkang dan paha kiri hingga ke hujung kaki kiri 3 kali.

Kemudian diiringkan rusuk kanan ke atas dan basuh lambung kanannya bahagian belakang meliputi bahu, belakang badan, rusuk, punggung, peha kanan dan terus ke hujung kaki kanannya 3 kali.

Kemudian diiringkan rusuk kiri ke atas dan basuh lambung kirinya bahagian belakang meliputi bahu, belakang badan, rusuk, punggung, peha kiri dan terus ke hujung kaki kirinya 3 kali.

Cara mandi ini pertama dibuat dengan menggunakan air sabun.

Kemudian dimandikan dengan air bersih, dilakukan seperti cara mandi dengan sabun, tujuannya untuk membersihkan segala air sabun tadi.
    
Setelah bersih, diwudhu'kan dengan niat,
" Sahaja aku wudhukan mayat ini kerana Allah"
Lafaz niat bagi lelaki:
"Nawaitul wudhu 'an hazal maiti lillahi ta'ala"
Lafaz niat bagi perempuan:
"Nawaitul wudhu' 'an hazihil maitati lillahi ta'ala"

Kemudian mandi dengan air bercampur kapur barus. Caranya air bersih dicampur sedikit air kapur barus yang sekira-kiranya tidak mengubah hukum air mutlak, kemudian dijirus sunat diniatkan:
" Sahaja aku mandi mayat ini kerana Allah Taala"
Lafaz niat bagi lelaki:
"Nawaitul ghusl 'an hazal maiti lillahi ta'ala"
Lafaz niat bagi perempuan:
"Nawaitul ghusl 'an hazihil maitati lillahi ta'ala"

Proses mandi ini sama juga seperti mandi dengan air sabun dan air bersih yang lalu. Kemudian ulang 2 kali dengan menambah kapur barus lebih tua sedikit supaya baunya lebih keras.
Semasa menjirus, sunat membaca:
      "Ghufranak rabbana rahman wailakal masir"                                       

Jadi hasilnya jumlah mandi mayat kesemuanya lima kali iaitu :
. Satu kali mandi dengan air sabun.
. Satu kali mandi dengan air bersih.
. Tiga kali mandi dengan air kapur barus.

Perlu diingat perbuatan membasuh mayat dengan air bercampur sabun (atau serbuk daun bidara) kemudian membilasnya, tidak dikira. Itu hanya seperti membersihkan badannya.

Yang diambil kira ialah mandi yang akhir, iaitu memandikan mayat dengan air yang dicampurkan sedikit kapur barus.

Perihal Lain
5.1 MAYAT DALAM KEADAAN JANABAH
Lelaki atau perempuan yang mati dalam keadaan janabah (berhadas besar) maka ia tidak dituntut dimandikan lagi dengan 'mandi janabah' setelah ia dimandikan dengan 'mandi mayat' kerana 'mandi mayatnya' mencukupi.
Jika keluar dari perut mayat sesuatu yang kotor setelah ia dimandikan atau semasa dikafankan, maka ia juga tidak dituntut dimandikan lagi, tetapi memadai membersihkan kesannya benda itu.

5.2 MAYAT YANG DITAYAMMUMKAN
i.  Kerana ketiadaan air.
ii. Kerana badannya terlalu uzur (seperti orang yang mati terbakar dan sebagainya), kalau dimandikan akan hancur daging badannya.
iii.'Mayat lelaki' yang mati di tempat terpencil dan tidak ada di situ melainkan kaum perempuan sahaja (yang bukan muhrimnya)
iv. 'Mayat perempuan' yang tidak ada di tempat matinya melainkan kaum lelaki sahaja (yang bukan muhrimnya)































والله أعلم بالصواب
Wallahu A’lam Bish Shawab
 (Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)