Sunday 12 April 2020

Hebat Menjadi Seorang Penghafaz Al-Quran


SYEIKH ABDUL MUHAIMIN

Memahami tujuan menghafaz Al-Quran dan cara menjaga hafazan.

1. Apa tujuan menghafaz?
- Ada beza NIAT vs TUJUAN.
- Masalah utama masyarakat sekarang ialah tidak tahu tujuan ibadah.
- Setiap ibadah ada kelebihan tersendiri. 
- Maka sekali lagi, kenapa nak susah-susah hafaz Quran?
- Kalau nak dapat syafaat, ibadah lain pun boleh. Nak mak ayah dapat pahala, boleh doakan jer. 
- Tujuan sebenar untuk menghafaz Al-Quran ialah untuk merebut ganjaran menjadi AHLULLAH (ahli Allah);
- Ibadah lain senang nak buat kecuali hafaz Al-Quran.
- Orang yang boleh muraja’ah (mengulangkaji hafazan/mengulang-ulang hafazannya) Al-Quran selama 2 jam setiap hari barulah boleh jadi Ahlullah!
- Ahlullah ni setiap hari dia akan baca Al-Quran.
- Untuk lancar hafazan, muraja’ah lah sekurang-kurangnya 3 juzuk.
- Muraja’ah bermaksud ulang balik hafazan tanpa melihat Al-Quran.
- Ada hadith sebut ramai orang munafiq ni terdiri daripada para huffaz (huffaz adalah kalimah plural kepada hafidz).
- Syeikh menyebut dia tak suka kalimah “al-hafidz” diletakkan selepas nama seseorang yang telah menghafaz 30 juzuk Al-Quran, atau gelaran “al-hafidz” diberikan kepada seseorang yang telah tamat hafazan mereka.
- Sebab apa? Ia boleh merosakkan hati si penghafaz. Julukan al-hafidz ni Allah sahaja yang tahu. Sejauh mana kelancaran dia menghafaz kalimah Allah tu hanya Allah yang tahu.
- Ia juga boleh melemahkan semangat si hafidz ni untuk muraja’ah Al-Quran. Syeikh beri contoh: “tak payah lah beriya-iya muraja’ah, orang pun dah panggil aku al-hafidz!” Sedangkan itu adalah tipu daya syaitan untuk mengeluarkan dia daripada menjadi Ahlullah!

2. Ada 7 Tingkat-tingkat akhlak.
* Akhlak dengan Allah dan Al-Quran
* Akhlak dengan Nabi, hadith dan sunnah
* Akhlak dengan ilmu dan ‘ulama
* Akhlak dengan mak ayah
* Akhlak dengan keluarga, kerabat dan jiran.
* Akhlak dengan masyarakat islam/mujtama’
* Akhlak dengan masyarakat bukan islam.

- para huffaz terutamanya sangat perlu menjaga akhlak dia dengan Allah dan Al-Quran;
- Macam mana nak jaga akhlak dengan Allah?
- Janganlah buat apa yang Allah dan Rasul tak suka!
- Bila nak buat sesuatu, tanya dulu - “Allah suka tak aku buat ni?”

Syeikh pesan untuk jaga hafazan, jagalah 5 perkara ini:

1. Banyak masa dengan Allah.
- selalu bercakap-cakap/munajat kepada Allah tentang apa jua hal.
- kalau susah nak hafaz, mengadu dengan Allah terus dan minta dengan Dia mudahkan.
- kalau buat dosa, terus istighfar, taubat minta ampun, janji tak buat lagi.
- apa sahaja masalah, selalulah bercakap-cakap dengan Allah.
- tak ada masalah pun, selalu munajat dengan Allah.
- inilah akhlak ahlullah. 
- orang yang banyak masa dengan Allah, tak banyak masa untuk perkara-perkara lain.

2. Sucikan hati dari dendam, dengki hasad dan cinta dunia.
- biar hanya Allah sahaja ada dalam hati.
- selalu maafkan orang.
- maafkan semua orang.

3. Selalu berbincang dengan guru.
- minta pandangan guru.
- dengar nasihat guru.
- minta doa guru.

4. Qiamullayl.
- waktu qiam malam, boleh muraja’ah ayat (bawak dalam solat).
- masa qiam malam, boleh baca 4 maqra’/ separuh juzuk.
- muraja’ah yang lancar ialah satu juzuk dalam 15 min. Lalu Syeikh pun bacakanlah gaya muraja’ah yang lancar supaya boleh baca satu juzuk dalam 15 min. Masya Allah! TabarokAllah! Laaaajuuuu! 
- orang macam kita biasanya satu juzuk habis dalam 30 min. 

5. Jaga wirid (muraja’ah)
- orang yang dah hafaz 10 juzuk, sepatutnya muraja’ah satu juzuk sehari.
- orang yang dah hafaz 20 juzuk, muraja’ah 2 juzuk sehari.
- untuk yang dah khatam 30 juzuk, muraja’ah 3 juzuk sehari.
- Tabiat ini akan mengekalkan hafazan!
- Sebab itu kata Syeikh, umur yang elok untuk mula hafazan ialah masa 5 tahun dan target khatam hafazan waktu umur 10 tahun. Kenapa?
- Sebab waktu umur macam ni, hati masih bersih. Bila hafaz, terus lekat masuk dalam hati, tak hilang-hilang dah.
- Orang baligh susah lekat hafazan sebab hati kotor. Baca setakat lepas kat tekak jer, tak masuk dalam hati kata Syeikh!
- Sebab tu kena selalu check apa ada dalam hati kita kalau baca tapi tak hafaz-hafaz!
- Syeikh sebut sesuatu yang menggerunkan. Ada kemungkinan jika kita tak suka atau liat buat sesuatu ibadah, atau kita tak juga hafaz-hafaz Quran tu kerana Allah sudah benci dengan ibadah kita itu. Kerana kita buat bukan kerana dia.
- Atau kita baca Quran - ada ayat2 larangan dan perintah Allah, ada ayat melaknat orang yang meninggalkan perintah Allah/melakukan larangan Allah, tapi kita yang menghafaz/membaca ayat2 ni selamba buat yang Allah larang atau tak buat yang Allah suruh makanya ayat2 Al-Quran yang kita baca dan cuba hafaz ni melaknat kita. Sebab tulah tak hafaz-hafaz. 
- Tanda hati ada nifaq, ialah bila kita rasa berat nak muraja’ah, rasa berat nak baca Al-Quran.
- Sebab apa rasa berat? Sebab kita hafaz bukan nak jadi ahlullah tapi ada kepentingan-kepentingan lain, misalnya untuk dapat sanjungan, untuk dapat ganjaran materi. Kita buat ibadah hanya bila ada masalah sahaja, ini pun tanda hati ada nifaq. 
- Kalau hafaz Quran dengan masalah2 di atas, memang takkan ingat. 
- Ibadah macam ni langsung tak berbekas di hati. 

Sebagai penguat semangat, Syeikh memperincikan begini:

Satu page Al-Quran = ada 15 baris.
1 baris = 30-35 huruf.
Satu page = 30 x 15, 35 x 15 , lebih kurang 450-525 huruf. 
Katakanlah 500 huruf secara purata. 

1 huruf = 10 ganjaran.

[ tambahan dari saya yang membuat sedikit bacaan, ada hadith yang mengatakan ganjaran pahala membaca Al-Quran ni berbeza mengikut keadaan. Saya simpulkan secara ringkasnya sebagai berikut:

- baca dalam solat sambil berdiri = 100 ganjaran kebaikan.
- baca dalam solat sambil duduk = 50 ganjaran kebaikan.
- baca di luar solat dengan wudhu’ = 25 ganjaran kebaikan.
- baca di luar solat tanpa wudhu’ = 10 ganjaran kebaikan.
Wallahu ‘alam]

Jadi yang Syeikh illustrates ialah yang paling sedikit ganjarannya untuk kita faham. Maka, 

Satu page = 500 x 10 = 5000 kebaikan.
Satu juzuk = 20 pages = 5000 x 20 = 100 000 kebaikan.
Para huffaz perlu punya target 3 juzuk sehari muraja’ah, maka kebaikannya Insya Allah sebanyak 300 000 kebaikan untuk maintain special membership dia dengan Allah. 

Bayangkan, satu page berapa minit sangat jer kita ambil masa, tu pun dah dapat 5000 kebaikan. Siapa agaknya nak bagi pada kita kebaikan sebegini banyak dalam masa beberapa minit? 
Sungguh tak logik di fikiran manusia kan? Tapi Allah yang Maha Penyayang tu sangat-sangat Pemurah nak bagi pada kita banyak kebaikan senang-senang jer. 

Muraja’ah satu juzuk selama setengah jam dah dapat gaji 100 000!!
Business MLM pun tak boleh lawan!!
Itu kira kita ambil transaction yang paling murah! Cuba ambil yang ada wudhu’ tengok. 

Satu page = 12 500
Satu juzuk = 250 000!

Para huffaz mesti aim yang paling tinggi!
Bacaan dalam solat sambil berdiri, katalah paling koman satu page jer.

Satu page dlm solat berdiri = 100 x 5000 = 500 000!
Satu rakaat dah setengah juta!
Bayangkan satu malam qiam dah jadi jutawan tersohor di akhirat hanya kerana dengan ketinggian Al-Quran! 

Masya Allah! TabarokAllah!
Maka memang layaklah para huffaz yang ikhlas dan sangat menjaga hafazan mereka menjadi Ahlullah!

Saya kira kita rakyat marhaen ni kenapa tak mahu ambil peluang ini?
Yang ada anak-anak tu usahakanlah supaya keluarga kita tak buta Al-Quran sekalipun tak mahu hafaz, celik Al-Quran pun cukuplah!!
Tengok dan nilai sendiri betapa Allah sayangkan kita. Cuma kita saja butakan mata hati kita tak mahu rebut peluang ni. 

Anak-anak ku, hadamkanlah kalam Syeikh Abdul Muhaimin ni.
Syeikh sebut dengan jelas, orang yang hatinya lalai dengan LAGU-LAGU dan perkara lain yang tiada faedah (samalah dengan DRAMA KOREA, KPOP, BOLLYWOOD, LAWAK JENAKA dan sebagainya), maka SUSAHLAH hatinya untuk menjaga hafazannya. 

Ahlullah ni depa tak dak masa nak spend buat perkara tak berfaedah nak. Wahai anak-anakku! Kita sudah tiada masa. Umur kita siapa yang tahu banyak mana lagikah yang tersisa?

Mari lah mari anak-anakku, dipentas itu sudah lama kalian berdiri, tapi untuk kekal jadi juara, mesti mujahadah dan berusaha. 

Mudahan, layaklah kita semua menjadi Ahlullah. Aamiin.

Nota:
Lihat surah Fathir, ayat 29.

إِنَّ الَّذِينَ يَتْلُونَ كِتَابَ اللَّهِ وَأَقَامُوا الصَّلَاةَ وَأَنفَقُوا مِمَّا رَزَقْنَاهُمْ سِرًّا وَعَلَانِيَةً يَرْجُونَ تِجَارَةً لَّن تَبُورَ

Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca Kitab Allah dan tetap mendirikan sembahyang serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka, mereka (dengan amalan yang demikian) mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian;

Ada lagi kalam Syeikh yang saya ingin kongsi, tapi cukuplah dulu yang ini. Ini pun dah cukup panjang untuk sama-sama kita hadam dan muhasabah serta ambil tindakan. Mudahan bermanfaat.

Allahu.. terasa kerdil dan bersalahnya bila dengar kuliah Dr. Khairul Anuar Bin Mohamad malam tadi.

Terlalu banyak panduan, pesanan, teguran, peringatan dan tips yang beliau sampaikan kepada seluruh warga huffaz.

Kalau saya boleh ringkaskan, ini antara isi penting daripada kuliah beliau. Semua ibu bapa yang ada anak hafaz Quran wajib tahu semua benda yang saya catat ni.

Tolong tag dan #share juga kepada semua para Huffaz yang kita kenal dan sayang :

❤️ Orang yang hafaz dan alim dalam ilmu Al-Quran mendapat kedudukan yang tinggi dalam masyarakat sejak daripada zaman Nabi SAW dan para sahabat.

❤️ Allah akan angkat orang yang menjaga Al-Quran dengan mendapat kedudukan dan kemuliaan di sisi Allah.

❤️ Para ulamak terdahulu juga sangat menjaga Al-Quran.

Sebagai contoh, Abu Abdurrahman As-Sulami. Beliau ialah guru kepada imam Qiraat cara bacaan kita melalui Imam Hafs iaitu Imam ‘Āsim.

Beliau belajar dengan beberapa guru yang besar dari kalangan sahabat seperti Uthmān bin ‘Affān, Ali bin Abī Thālib dan Zaid bin Tsābit

Beliau khatam talaqqi Al-Quran dengan Zaid bin Tsābit sebanyak 13 kali.

Beliau mengajar Al-Quran dan ilmu-ilmu lain di Kufah selama lebih 40 tahun.

❤️ Belajarlah membaca Al-Quran sebanyak mungkin dengan seramai mungkin guru. Jangan cukup hanya dengan sekali khatam.

❤️ Jangan pernah merasa jemu untuk belajar membaca Al-Quran. “Sebaik-baik kamu ialah yang belajar dan mengajar Al-Quran” [Al-Hadith]

❤️ Perkara paling utama dalam usaha nak hafaz Al-Quran ialah mesti ada keikhlasan hati hanya kepada Allah. Hafaz Al-Quran untuk mengharapkan keredhaan Allah.

❤️ Perkara kedua terpenting ialah ‘himmah ‘āliyah’ atau pun kesungguhan yang jitu dan kuat. Sebab proses mengingati Al-Quran yang memiliki 6236 ayat bukanlah proses one-off tetapi proses sepanjang hayat.

❤️ Perkara ketiga yang penting ialah kena sentiasa ada motivasi untuk ingat Al-Quran. Ini kerana memang lumrah manusia, ada masa semangat dan ada masa lemah semangat (futhūr).

Kata Ibnu Mas’ūd :

Apabila kamu dengar pelbagai kelebihan dan kehebatan balasan bagi para penghafaz Al-Quran, maka rebutlah masa itu untuk hafaz sebanyak mungkin ayat Al-Quran.

Apabila kamu lemah semangat, maka biarkanlah. Cuba pupuk balik semangat itu agar naik kembali.

Hati tidak boleh dipaksa. Jika dipaksa maka akan rosak hati itu.

Maka di sinilah peranan guru dan ibu bapa untuk memujuk dan menaikkan kembali semangat anak-anak yang menghafaz Al-Quran.

❤️ Membaca Al-Quran sebanyak 1 juzuk mengambil masa kurang daripada 1 jam. Kadar bacaan adalah biasa atau disebut sebagai ‘tartīl’.

Jadi sebenarnya masa yang perlu diperuntukkan untuk mengulangkaji ayat yang sudah dihafaz tidaklah terlalu lama.

Tapi kadang-kadang, kita dilalaikan dengan gajet dan sebagainya. Itu semua akan menyebabkan kita terleka dan terlalai. Masa yang diambil pula akan jadi semakin panjang.

❤️ Untuk ingat Al-Quran setelah habis menghafaz, perlu ada waktu khusus untuknya. 

Sebagai contoh, orang yang sibuk dengan kerja atau menguruskan keluarga bagi penghafaz wanita.

Orang yang sebegini, mesti cari juga masa yang tidak sibuk. Mesti ada dan jumpa kalau kita cari masa tersebut.

Jika sibuk dari mula bangkit tidur sehingga tidur balik, maka kena bangun sejam lebih awal daripada itu untuk muraja’ah Al-Quran.

Paling kurang, wajib 1 jam sehari fokus 100% pada Al-Quran.

❤️ Al-Quran seperti unta yang diikat. Jika ikatannya kejap, maka ia akan tetap di situ. Jika ikatannyatidak kemas, maka ia akan lari [Al-Hadith].

Maka ikatlah Al-Quran dengan muraja’ah. Kena ulang dan ulang dan ulang.

Jika ditinggal lama, maka akan ada situasi ingat-ingat lupa, atau ada surah ingat, ada surah tak ingat. 

Ini amat menyedihkan.

❤️ Hafazan kali pertama seperti menebas hutan. Jika tidak diulang, maka hutan yang tumbuh selepas itu akan jadi lebih berat dan dahsyat. 

Tetapi jika sentiasa dijaga dan dipelihara, akan tumbuh pula tumbuhan yang cantik dan menyedapkan mata memandang.

Jadi, jangan tinggal mengulang Al-Quran.

❤️ Dengan disiplin mengulang dan tawakkal kepada Allah, tidak mustahil untuk ingat Al-Quran sampai mati.

❤️ Target kena ada. Jika target atau jadual mengulang pun tak ada, maka 100% kita akan gagal ingat Al-Quran.

❤️ Bagi yang mengulang Al-Quran sekejap hafaz, sekejap tengok, itu pun boleh dilakukan. Cuma usaha dan kekerapan ulangan mesti lebih daripada orang lain.

❤️ Paling kurang, wajib i’adah minimum 3 juzuk sehari. Tetapi imam-imam besar Al-Quran muraja’ah Al-Quran tidak kurang daripada 5 juzuk sehari.

Setiap minggu mesti khatam sekali. Sebulan mesti khatam 4 kali. 

❤️ Siapa saja boleh menghafaz dan ingat Al-Quran walaupun tidak ada background yang sepatutnya.

Yang paling penting ialah kesungguhan. Ini terbukti apabila ada seorang penjual ikan di Terengganu yang hafaz 30 juzuk dan berupaya untuk mengingatinya seperti orang yang belajar di maahad tahfiz.

Beliau dah pun meninggal dunia. Semoga Allah memberikannya syurga tertinggi tanpa hisab kepada Almarhum.

❤️ Lajunya menghafaz atau khatam cepat tidak membuktikan apa-apa.

Yang paling hebat ialah berapa banyak yang boleh diingat selepas khatam hafazan.

❤️ Dalam seminggu, peruntukkan 5 hari untuk hafaz dan tasmik di depan guru. 2 hari lagi mesti mengulang secara khusus.

Tapi perlu diingat, hari tasmik hafazan pun mesti diulang hafazan yang lama.

❤️ Boleh menghafaz secara sendiri. Tetapi paling baik ialah dengan guru kerana guru akan memberi teguran sama ada bacaannya betul dan ingatannya sempurna atau tidak.

Selain itu, membaca di depan guru juga akan menambahkan keberkatan.

❤️ Tidak ada kefakiran bersama Al-Quran. Samada kefakiran dari sudut kewangan atau dari sudut lain. Jadi, jangan risau. Teruskan usaha sehingga ke akhirnya.

Itulah antara beberapa point penting yang mampu saya tulis semula sebagai panduan.

Dengar mutiara ilmu dari orang alim macam Dr memang tak cukup masa sejam. Kena tambah lagi dan lagi dan lagi.

Ok?

Terus saya rasa semangat untuk buat jadual muraja’ah Al-Quran kerana rasa bersalah yang amat sangat. Banyak yang Dr sebut terkena atas batang hidung sendiri sebenarnya.

Wallahu a’lam!

*Kredit ust Khairul Anuar Basri

#KAB
#StayAtHome

No comments:

Post a Comment